RUU 355, RUU Kawalan Pengembangan Agama tiada kaitan dengan bukan Islam, kata menteri

RUU 355, RUU Kawalan Pengembangan Agama tiada kaitan dengan bukan Islam, kata menteri

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata undang-undang itu bukan bertujuan menyekat kebebasan beragama orang bukan Islam.

Idris Ahmad berkata, orang bukan Islam tetap diberi kebebasan untuk mengamalkan dan menyebarkan ajaran agama dalam kalangan mereka kerana undang-undang itu hanya melibatkan orang Islam sahaja. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Usaha kerajaan menambah baik Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau (RUU355) dan RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam langsung tidak melibatkan orang bukan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad menegaskan bahawa orang bukan Islam tetap diberi kebebasan untuk mengamalkan dan menyebarkan ajaran agama dalam kalangan mereka kerana undang-undang itu hanya melibatkan orang Islam sahaja.

“Sebenarnya RUU ini ialah sekatan pengembangan doktrin atau kepercayaan agama melibatkan orang Islam sahaja, RUU ini bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan beragama dalam kalangan bukan Islam.

“Bukan Islam bebas untuk menyebarkan agama mereka dalam kalangan mereka asalkan tidak melibatkan orang-orang Islam,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang mempersoalkan tindakan kerajaan memperkasakan RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kerana bertentangan dengan kebebasan beragama dan melanggar hak asasi.

Sebelum itu, dalam soalan asal, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) bertanyakan mengenai status pelaksanaan RUU 355 dan RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam yang dibawa kepada rundingan bersama negeri-negeri, tahun lalu.

Idris berkata, sepanjang 2020 dan 2021, beberapa siri mesyuarat telah diadakan bagi membincangkan perkara itu dengan meneliti beberapa aspek khususnya perlembagaan, undang-undang dan hukum syarak supaya ia lebih menyeluruh, sekali gus dapat memperkasakan bidang kuasa jenayah mahkamah syariah.

Katanya, ia dilakukan menerusi Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang ditubuhkan oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI).

“Jawatankuasa teknikal turut mengadakan beberapa siri mesyuarat sepanjang tahun 2020 dan 2021 bagi membincangkannya. Selain itu, sebuah jawatankuasa kecil turut ditubuhkan bagi meneliti RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam bagi mematikan ia selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Setelah RUU 355 dan RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam dimuktamadkan kelak, ia akan dibentangkan kepada negeri-negeri dalam Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil yang dijadualkan pada 12 hingga 14 Oktober 2021,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.