
Tindakan tidak bertanggungjawab itu sekali gus menyebabkan penduduk di Tasek Mutiara berasa kurang senang susulan haiwan terbabit ditinggalkan sejak Jun lalu.
Penduduk yang mahu dikenali sebagai Ima berkata, penduduk hanya mengetahui perkara berkenaan baru-baru ini dan kini jiran berhampiran terpaksa datang untuk memberi makan kepada haiwan yang kelaparan itu.
“Walaupun tidak bersetuju dengan tindakan memelihara babi di kediaman, jiran berhampiran terpaksa memberi makanan kerana berasa kasihan dengan haiwan yang kelaparan itu.
“Aduan kepada pihak pengurusan perumahan sudah dibuat bagi membolehkan tindakan lanjut diambil termasuk menghubungi pemilik rumah.
“Namun, sehingga hari ini haiwan berkenaan masih berada di pekarangan rumah malah pihak pengurusan memberi alasan isu itu dalam pengetahuan mereka dan tindakan sedang dijalankan,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Ima yang sudah dua tahun tinggal di situ berkata, dia tidak berpuas hati dengan cara pihak pengurusan yang seolah-olah tidak memandang serius masalah terbabit.
Tambahnya, dia berharap Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memindahkan haiwan itu menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada, bukan sahaja bagi kesejahteraan kejiranan tetapi kebaikan haiwan itu juga.
“Sekiranya masih tiada tindakan, kami memohon kepada MBSP supaya memindahkan haiwan itu menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada, bukan sahaja bagi kesejahteraan kejiranan tetapi kebaikan haiwan itu juga yang perlu dijaga.
“Perkara ini perlu ditangani segera kerana babi bukannya boleh dijadikan haiwan peliharaan di kawasan perumahan masyarakat majmuk dan diharap ia jadi pengajaran supaya tidak berulang lagi di tempat lain,” katanya.