KPT bentuk jawatankuasa teliti tambah baik AUKU, kata Noraini

KPT bentuk jawatankuasa teliti tambah baik AUKU, kata Noraini

Jawatankuasa itu terdiri daripada pakar perlembagaan, pakar sektor pendidikan tinggi, wakil pengurusan tertinggi universiti, wakil persatuan, NGO serta wakil pelajar.

Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad berkata, sebarang tindakan yang diambil berhasrat melahirkan mahasiswa dinamik, peka dan prihatin dalam usaha mempersiapkan mereka menjadi pemimpin masa depan.
KUALA LUMPUR:
Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad berkata, kementeriannya sedang melakukan libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pelajar dalam usaha menambah baik Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) bagi memastikan ia sesuai dengan perkembangan semasa.

Katanya, satu jawatankuasa kerja penambahbaikan AUKU ditubuhkan September tahun lalu untuk meneliti secara menyeluruh penambahbaikan yang boleh dilaksanakan.

“Jawatankuasa ini terdiri daripada pakar perlembagaan, pakar sektor pendidikan tinggi, wakil pengurusan tertinggi universiti, wakil persatuan, NGO serta wakil pelajar.

“Apa juga tindakan akan diambil kementerian, ia berlandaskan hasrat untuk melahirkan mahasiswa dinamik, peka dan prihatin dalam isu kenegaraan, dalam usaha mempersiapkan mereka menjadi pemimpin masa depan.

“Libat urus terakhir sudah diadakan dengan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) pada 14 Sept lalu bagi mengumpul input terkini mengenai penambahbaikan yang boleh dibuat melalui pindaan AUKU, sesuai dengan keperluan semasa,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12, dengan turut menjelaskan dua pindaan AUKU terdahulu, iaitu pada 2012 dan 2019 dianggap pindaan signifikan terhadap kebebasan pelajar untuk berpolitik sama ada di dalam atau di luar kampus.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.