
Ketua Pejuang Muda Kedah Ahmad Shauqie Syeikh Muhamad Baderudin, berkata sekolah agama rakyat (SAR), sekolah tahfiz dan pondok memerlukan perhatian serta bantuan lebih besar, selepas mengambil kira bantuan RM15 juta diperuntukkan kepada sekolah persendirian Cina oleh kerajaan Persekutuan.
Katanya, pusat pengajian institusi agama khususnya di Kedah semakin tenat kerana kekurangan dana menguruskan sekolah, selain berdepan masalah melangsaikan pembayaran gaji guru.
“Kerajaan PN (Perikatan Nasional) baru-baru ini memberikan bantuan lebih besar kepada Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang mewakili sekolah persendirian Cina.
“Amat sedih bila mencongak bantuan besar yang diperuntukkan kepada 63 sekolah persendirian Cina, sebanyak RM15 juta. Bagaimana pula dengan nasib SAR? Bagi jumlah bantuan yang Dong Zong dapat ini, setiap sekolah boleh terima lebih kurang RM230,000,” katanya dalam kenyataan.
Shauqie bagaimanapun mengakui pusat pengajian agama sebelum ini menerima RM100 juta daripada kerajaan Persekutuan.
“Itupun, peruntukan tersebut hanya untuk selenggara dan naik taraf sekolah, sedangkan gaji guru dan kakitangan sekolah setiap bulan perlu dibayar. Sekolah tidak beroperasi. Dari mana sekolah nak cari duit?
“Sudah congak berapa banyak setiap SAR, sekolah tahfiz, sekolah pondok dapat dari agihan RM100 juta itu? Tak banyak mana pun, tak sampai RM100,000 sebuah,” katanya.
Beliau turut menyelar PAS sekadar pandai beretorik sedangkan dahulu meletakkan parti mereka sebagai pejuang SAR, tahfiz dan pondok.
“Malah pimpinan PAS lah yang paling lantang melaungkan supaya Dong Zong diharamkan. Kini mereka sudah bisu. Nyatalah semua pekik lolong mereka selama ini lebih kepada retorik politik semata-mata,” katanya.