7 warga asing terlibat sindiket ‘Love Scam’ ditahan

7 warga asing terlibat sindiket ‘Love Scam’ ditahan

Penahanan warga asing terbabit hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dan Hong Kong Police Force.

Mereka yang terlibat dalam sindiket itu menyasarkan mangsa dalam kalangan rakyat Malaysia dan Hong Kong.
KUALA LUMPUR:
Tujuh warga asing termasuk dua wanita ditahan dalam serbuan di tiga premis sekitar Puchong dan Selangor semalam, kerana disyaki terlibat dengan sindiket penipuan “Love Scam”.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Mohd Kamarudin Md Din, berkata semua suspek berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun ditahan dalam Op Tiong khusus bagi membanteras kegiatan penipuan itu, hasil kolaborasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Hong Kong Police Force.

Tanpa mendedahkan nilai kerugian dialami mangsa, beliau berkata mereka yang terlibat dalam sindiket itu menyasarkan mangsa dalam kalangan rakyat Malaysia dan Hong Kong.

“Siasatan mendapati ahli sindiket ini memasuki Malaysia sekitar tiga tahun lepas menggunakan pas pelajar serta menggunakan pelbagai nama samaran serta akaun palsu di platform Facebook dan Instagram.

“Mereka akan menghantar permohonan untuk menjadi rakan kepada pengguna media sosial di negara sasaran, dan mangsa yang terpedaya dengan kata-kata manis dan janji palsu kemudiannya akan diminta memindahkan wang ke dalam akaun bank yang diberikan,” katanya dalam kenyataan.

Turut dirampas dalam serbuan itu, beberapa komputer riba, telefon bimbit, router, pasport dan sejumlah kad ATM pelbagai bank.

Kamarudin berkata, semua suspek direman hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.

Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpesona dengan gambar profil yang cantik atau tampan yang digunakan di media sosial, serta tidak mudah terpedaya dengan kata-kata manis atau janji yang ditaburkan.

“Waspada dalam memilih rakan melalui laman sosial terutamanya kenalan dari luar negara serta tidak memberi pinjaman atau memasukkan wang ke dalam akaun individu tidak dikenali,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai diminta membuat semakan terlebih dahulu melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau memuat turun aplikasi “Semak Mule CCID” sebelum membuat sebarang transaksi.

Kamarudin berkata, orang ramai diminta menghubungi CCID Scam Response Centre melalui talian 03 26101559/03 26101599 jika mempunyai sebarang maklumat atau keraguan berkaitan jenayah komersial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.