
Peguam Akberdin Abdul Kader, yang membaca pernyataan pembukaan bagi pihak pembelaan sebelum tertuduh memberi keterangan, berkata bekas pembantu Rosmah, Rizal Mansor, adalah individu yang meminta dan menerima rasuah berkaitan projek solar Sarawak.
Bagaimanapun, katanya, pihak pendakwaan menarik balik tuduhan terhadap Rizal dan menjadikannya saksi.
Rizal, yang dituduh bersama Rosmah, bebas daripada empat tuduhan rasuah berkaitan projek itu sebelum perbicaraan dimulakan awal tahun lalu.
“Pihak pendakwaan membuat perjanjian dengan Rizal dan menjadikannya saksi utama mereka untuk memberi keterangan palsu bagi menjerat dan membabitkan tertuduh dengan tiga tuduhan,” kata Akberdin.
Beliau mendakwa, jika Rizal enggan bekerjasama dengan pihak pendakwaan, dia akan didakwa atas tuduhan baharu.
“Ini menunjukkan pihak pendakwaan mempunyai niat jahat walaupun dakwaan terhadap tertuduh tidak berasas,” katanya.
Katanya, Rosmah, isteri Najib Razak, dijadikan kambing hitam oleh individu tidak bertanggungjawab di Kementerian Pendidikan (KPM) untuk bersekongkol dengan Jepak Holdings Sdn Bhd, yang mendapat kontrak bagi projek solar itu.
Rosmah, 69, dituduh meminta RM187.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin melalui Rizal sebagai imbuhan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar membabitkan 369 sekolah di kawasan luar bandar Sarawak menerusi rundingan terus dengan KPM.
Dia turut didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi pada 2016 dan 2017.
Pada 18 Feb, hakim perbicaraan Mohamed Zaini Mazlan memerintahkan Rosmah membela diri memandangkan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Pihak pendakwaan memanggil 23 saksi untuk membuktikan kes.
Akberdin berkata, pihak pembelaan mengambil pendirian bahawa Rosmah tidak terlibat dalam amalan rasuah secara langsung atau tidak langsung.
Katanya, tiada laporan dibuat Saidi dan pembantunya, Rayyan Radzwill Abdullah, kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa Rosmah meminta dan menerima rasuah itu.
“Sebaliknya, Rizal menggunakan kedudukannya, serta nama dan kedudukan tertuduh tanpa pengetahuannya untuk mencapai matlamat peribadi,” kata Akberdin.
Akberdin berkata, Rosmah tidak pernah menerima RM6.5 juta daripada Saidi dan mendakwa RM5 juta diambil Rizal.
Katanya, hanya Najib yang dapat meluluskan projek dan Rosmah tidak mempunyai kuasa.
Akberdin berkata, Saidi hanya membuat tawaran sumbangan politik kepada Najib sebagai tanda terima kasih kerana menyokong permohonan projek tersebut.
“Ini adalah sumbangan politik untuk memastikan Barisan Nasional memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan bukan sumbangan peribadi kepada tertuduh,” tambahnya.
Perbicaraan diteruskan.