
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Sarawak Zin Azman Md Yunus berkata, setakat ini pasukan penyelamat belum menemui sebarang petunjuk baharu berkaitan dengan mangsa.
Katanya, operasi semalam mendapat bantuan aset udara daripada Pasukan Gerakan Udara (PGU) polis bagi membuat pencarian melalui udara di sekitar perairan Pulau Satang.
“Keadaan cuaca sedikit berangin dengan kelajuan antara 20 dan 30 kilometer sejam dengan laut berombak setinggi 1 hingga 1.5 meter,” katanya, menurut laporan Bernama.
Operasi SAR terbabit turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Jabatan Perikanan Laut Sarawak.
Menurut Zin, keluasan kawasan pencarian semalam merangkumi 795.31 batu nautika serta beberapa bot pancing komuniti maritim sekitar turut melakukan pencarian dengan jumlah keseluruhan pegawai dan anggota petugas pasukan penyelamat seramai 80 orang.
Terdahulu, sembilan daripada 10 pemancing yang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka dilaporkan karam pada kedudukan kira-kira dua batu nautika dari perairan Pulau Satang berjaya diselamatkan oleh komuniti nelayan di sekitar Pulau Satang Besar sekitar 1 pagi (Ahad).