Minta negara lain iktiraf sijil vaksin, kerajaan diberitahu

Minta negara lain iktiraf sijil vaksin, kerajaan diberitahu

Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye berkata perjanjian antara kerajaan dengan negara lain perlu dibuat untuk mengiktiraf setiap sijil vaksin yang dikeluarkan.

Seorang Ahli Parlimen berkata, kerajaan perlu memantau perkembangan negara lain yang dilaporkan mempunyai penularan varian baharu Covid-19 dan mengenakan tempoh kuarantin terhadap pelancong yang masuk ke negara ini.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen mencadangkan supaya kerajaan memberi keutamaan kepada usaha meminta negara lain mengiktiraf sijil vaksin yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye berkata, sebagai persediaan membenarkan semula rakyat melakukan perjalanan ke luar negara, perjanjian antara kerajaan dengan negara lain harus dilakukan untuk mengiktiraf sijil vaksin yang dikeluarkan.

Lee yang juga bekas Timbalan Menteri Kesihatan berkata, hanya mereka yang telah menerima dos lengkap sahaja boleh diberi kebenaran itu selepas pintu sempadan negara mula dibuka semula.

Katanya, memandangkan lebih sejuta rakyat di negara ini masih belum mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin, ia juga akan menggalakkan individu terbabit untuk melakukannya segera.

Dr Lee Boon Chye.

Ahad lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, rakyat mungkin dibenarkan melancong ke luar negara bermula Disember ini tanpa perlu memohon dokumen MyTravelPass.

Selain itu Lee juga berkata, kerajaan harus memantau perkembangan negara lain yang dilaporkan mempunyai penularan varian baharu Covid-19 dan mengenakan tempoh kuarantin terhadap pelancong yang masuk ke negara ini.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Koh Kar Chai berkata, tempoh kuarantin mungkin tidak perlu dikenakan sekiranya pelancong luar negara itu telah lengkap dos vaksin dan mempunyai keputusan negatif ujian PCR.

Katanya, Malaysia juga harus membenarkan mana-mana pelancong yang telah mendapatkan suntikan mana-mana vaksin yang diiktiraf dan disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Koh berkata, kerajaan juga perlu mewujudkan satu kaedah bagi membolehkan pengesanan kontak terhadap pelancong luar negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.