Malaysia panggil duta bantah pencerobohan kapal China di perairan negara

Malaysia panggil duta bantah pencerobohan kapal China di perairan negara

Malaysia mengulangi pendirian bahawa semua perkara yang berkaitan dengan Laut China Selatan perlu diselesaikan secara aman dan konstruktif.

Wisma Putra berkata, keberadaan dan aktiviti kapal terbabit bertentangan dengan Akta Zon Ekonomi Eksklusif 1984 dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (KUUL) 1982.
PUTRAJAYA:
Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) memanggil Duta Besar China pada Isnin untuk menyatakan pendirian dan bantahan terhadap keberadaan dan aktiviti kapal-kapal China termasuk kapal penyelidikan di dalam Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia di luar pesisir Sabah dan Sarawak.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Wisma Putra lewat malam tadi, keberadaan dan aktiviti kapal-kapal itu bertentangan dengan Akta Zon Ekonomi Eksklusif 1984 dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (KUUL) 1982.

“Pendirian dan tindakan konsisten Malaysia adalah berdasarkan undang-undang antarabangsa, demi mempertahankan kedaulatan dan hak kedaulatan di dalam perairan negara,” kata kenyataan itu.

Malaysia juga sebelum ini pernah membantah pencerobohan oleh kapal-kapal asing lain ke dalam perairan negara.

Menurut kenyataan itu lagi, dalam menentukan pendirian dan tindakan yang diambil oleh Malaysia berhubung isu Laut China Selatan yang kompleks dan melibatkan hubungan antara negara, kepentingan negara akan terus dijadikan asas utama.

Malaysia mengulangi pendirian bahawa semua perkara yang berkaitan dengan Laut China Selatan perlu diselesaikan secara aman dan konstruktif, selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara sejagat, termasuk KUUL 1982.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.