KVDT2 boleh siap 2026, tegas Wee

KVDT2 boleh siap 2026, tegas Wee

Menteri Pengangkutan berkata syarikat yang mempunyai pengalaman dan kompeten merupakan 'push factor' untuk menyiapkan projek KVDT2.

Wee Ka Siong berkata perancangan teliti akan menyaksikan projek KVDT2 dapat disiapkan walaupun kontraktor asal mengheret kerajaan ke mahkamah.
KUALA LUMPUR:
Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong bertegas Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) dapat disiapkan menjelang 2026, seperti dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Katanya, ia boleh dicapai dengan perancangan teliti dan kerjasama pelbagai pihak terbabit, termasuk pihak berkuasa tempatan dan syarikat yang terbabit dalam projek itu.

“Syarikat yang mempunyai pengalaman dan kompeten dalam projek landasan ini juga merupakan ‘push factor’ untuk menyiapkan projek KVDT2 ini,” katanya di Dewan Rakyat.

Dalam ucapan penggulungan RMK12, beliau mengulangi keputusan menamatkan kontrak Dhaya Maju-LTAT Sdn Bhd dibuat Jemaah Menteri pada 28 Ogos dan 2 Sept tahun lalu.

Beliau menjawab pertanyaan bekas Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook (PH-Seremban) yang ingin tahu jika kerajaan boleh memberi jaminan projek itu dapat disiapkan menjelang 2026, susulan penangguhan selepas kontraktor terbabit mengheret Putrajaya ke mahkamah.

Sementara itu, Wee berkata, sektor penerbangan negara dijangka pulih dalam tempoh tiga hingga empat tahun akibat kesan pandemik.

Katanya, rancangan Malaysia Airports Holdings Bhd menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ditangguhkan sehingga industri itu pulih secara keseluruhan kerana ia tidak mampu memulakan kerja.

Pada masa sama, beliau berkata, Kementerian Pengangkutan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk mendapatkan tanah yang diperlukan bagi projek perluasan lapangan terbang itu.

Dalam perkembangan lain, Wee berkata, kementeriannya tidak mempunyai dana tersedia untuk membantu membiayai projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang dan mengulangi beliau tidak membantahnya.

“Saya tak kata saya tidak sokong, tetapi dari segi dana sedia ada…mungkin anda boleh bangkitkan perkara ini dengan menteri kewangan,” katanya kepada Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru).

Mengenai projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), katanya, Kementerian Pengangkutan mengadakan 37 sesi libat urus dengan kerajaan Selangor untuk mencapai penyelesaian baik berhubung lokasi laluan landasan itu.

Beliau berkata, kementeriannya sudah menawarkan alternatif kepada kerajaan negeri itu, susulan kebimbangan kerajaan negeri dan Istana Selangor berhubung kesan jajaran asal terhadap alam sekitar.

“Saya masih menunggu jawapan daripada kerajaan negeri. Kami akan teruskan usaha ini,” katanya ketika ditanya Loke sama ada Selangor sudah bersetuju dengan jajaran baharu itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.