
Beliau merujuk kenyataan Muhyiddin minggu lalu yang mendakwa projek itu menelan kos RM38.5 juta, termasuk perolehan perabot memandangkan kebanyakan aset perabot di Seri Perdana milik peribadi Najib dipindahkan.
Hari ini, Zahid dalam catatan Facebook menyifatkan tidak masuk akal Muhyiddin cuba mengaitkan Najib dengan projek menaik taraf Kompleks Seri Perdana yang diluluskan di bawah pentadbirannya ketika menjadi Perdana Menteri kelapan.
Zahid berkata, ia merupakan hak Najib untuk mengambil barang peribadinya apabila tidak lagi menduduki Kompleks Seri Perdana.
“Sama seperti seorang pekerja yang meninggalkan pejabatnya apabila tidak lagi berkhidmat.
“Lagipun Najib cuma mengambil barangan peribadinya dari Kompleks Seri Perdana berdasarkan senarai barangan dibenarkan Jabatan Perdana Menteri pada 18 Nov 2020 dan ada bukti yang jelas mengenainya,” katanya.
Pada 29 Sept lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Abdul Latiff Ahmad dilaporkan berkata, projek menaik taraf Kompleks Seri Perdana berjumlah RM38.5 juta diluluskan pada 19 Mac lalu di bawah pentadbiran Muhyiddin dan mula dilaksanakan 10 hari kemudian.
Keesokannya, Muhyiddin berkata, RM38.5 juta yang diluluskan di bawah pentadbirannya untuk kerja membaik pulih kerosakan fizikal Kompleks Seri Perdana, bukannya sekadar pengubahsuaian.
Ia membabitkan kebocoran, sistem pencahayaan lama, keadaan fizikal lantai dan bumbung yang rosak atau usang, pendawaian elektrik, pencahayaan dan peralatan mekanikal seperti penghawa dingin terlalu usang.
Katanya, Jabatan Perdana Menteri (JPM) turut mengesyorkan perolehan perabot dibuat kerana kebanyakan aset perabot di Seri Perdana yang didakwa milik peribadi Najib sudah dipindah keluar.
Zahid berkata, jika Kompleks Seri Perdana tidak lagi dilengkapi perabot milik peribadi Najib, ia sepatutnya digantikan perabot peribadi milik PM baharu, bukannya menggunakan wang negara.
Katanya, rakyat yang bergelut dengan impak pandemik memerlukan lebih banyak bantuan, tetapi kerajaan pimpinan Muhyiddin yang pernah menyatakan negara tidak lagi mempunyai wang, sebaliknya meluluskan peruntukan “dengan begitu cekap dan pantas” untuk membeli perabot kediaman rasmi Perdana Menteri.