Benar tanam, jual ketum, Malaysia ketinggalan kepada Thailand, kata Ahli Parlimen

Benar tanam, jual ketum, Malaysia ketinggalan kepada Thailand, kata Ahli Parlimen

Dr Azman Ismail berkata ketum di Malaysia diseludup ke Thailand yang kemudiannya dipasarkan negara itu sebagai Thai kratom.

Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail berkata, ketum yang ditanam di Malaysia diseludup ke Thailand yang kemudiannya dipasarkan sebagai ‘Thai kratom’. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang berkata, Putrajaya harus membenarkan penanaman dan perdagangan daun ketum sebagai herba perubatan kerana Malaysia sedang ketinggalan kepada Thailand dalam pasaran yang amat menguntungkan.

Dr Azman Ismail (PH-Kuala Kedah) ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) berkata, kerajaan perlu melabur dan menanam tanaman berimpak tinggi itu untuk meningkatkan pendapatan dan membangunkan kawasan luar bandar.

Katanya, ketum sudah lama diabaikan di Malaysia, walaupun ia kini digunakan di seluruh dunia untuk merawat penagih dadah dalam proses pemulihan dan pesakit menghadapi kesakitan neuralgia.

“Ketum terbaik di dunia tumbuh di utara Semenanjung Malaysia: Kedah, Perlis dan Kelantan. Tetapi apa yang terbaik kepada kita, kita tak benarkan dijual dan tanam secara meluas.

“Siapa yang dapat hasilnya? Ketum kita yang diseludup ke Thailand, mereka pasarkan sebagai Thai kratom. Thailand menguasai pasaran ketum di Amerika Syarikat dan Eropah.

“Setelah memasarkannya secara global dan mendapat pembeli serta pasaran, mereka telah menghalalkan ketum di Thailand,” katanya kepada Dewan Rakyat.

Beliau berkata, pasaran ubat herba bernilai RM418 bilion setakat tahun lalu dan ia dijangka meningkat sebanyak 16% setiap tahun. Menjelang 2026, pasaran itu dianggarkan bernilai RM629 bilion.

Walaupun beliau tidak menyokong penyalahgunaan daun ketum, tetapi penggunaan dan penjualan tanaman itu sebagai ubat herba perlu digalakkan.

Azman berkata, kerajaan boleh menggubal undang-undang khusus untuk penanaman dan perdagangan ketum, dengan lesen dikeluarkan bagi penanaman dan penjualan daun ketum.

“Siapa yang tanam dan tidak ada lesen, yang berpotensi disalahgunakan, kita musnahkan ketum itu. Maka kita dapat kawal penyalahgunaan ketum, kita dapat pasarkan ketum dan kerajaan dapat keuntungan yang baik.”

Beliau berkata, ketum ialah perangsang tidak seperti heroin atau morfin, yang merupakan dadah sintetik, serta ia adalah herba berimpak tinggi, malah lebih tinggi daripada ginseng.

“Kalau kita bebaskan polis kita daripada susah payah, remeh-temeh ketum, polis boleh beri masa dan tumpuan kepada penyalahgunaan dadah sintetik yang cukup berbahaya.

“Sedangkan ketum dipasarkan sebagai ubat, ia boleh menolong orang pulih daripada penagihan heroin dan morfin yang disebut sebagai ‘substitution therapy’.”

Gesaan Azman menyusul hanya seminggu selepas Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) menggesa Putrajaya mengkaji untuk membenarkan penanaman ganja jenis hemp dan marijuana bagi manfaat perubatan serta ekonomi.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, pasaran hemp dan marijuana semasa dianggarkan bernilai RM60 bilion dan dijangka melebihi RM400 bilion dalam tempoh empat tahun akan datang, serta ia boleh digunakan sebagai kaedah rawatan alternatif kepada masalah kesihatan mental seperti penyakit bipolar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.