
Bercakap kepada FMT, Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA) Uzaidi Udanis berkata ia juga penting untuk kerajaan negeri mengambil langkah sepatutnya bagi melindungi penduduknya daripada penularan jangkitan Covid-19.
“Walaupun kami (pemain industri) mahu semuanya dibuka, namun ia masih tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan negeri bagi membuka sektor pelancongan di Pahang.
“Apa yang lebih penting ialah SOP yang jelas dan terperinci perlu disediakan bagi memastikan keselamatan semua. Kita tidak boleh melalui satu lagi sekatan penuh kerana ia melibatkan banyak wang untuk beroperasi dan bermula lagi,” katanya.
Uzaidi berkata industri pelancongan boleh melakukan penangguhan lebih lama sehingga mencapai kadar 90% populasi dewasa lengkap divaksinasi dan pergerakan rentas negeri dibenarkan semula.
Beliau menggesa orang ramai supaya bersabar sambil menasihatkan mereka yang telah membuat tempahan untuk tidak berasa bimbang kerana kebanyakan syarikat pelancongan boleh bertolak ansur dengan membenarkan tempahan ditunda ke tarikh lain.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Nigel Wong mengkritik keputusan kerajaan negeri Pahang yang membuat pusingan U terhadap pelaksanaan itu.
Katanya, sektor perniagaan sepatutnya diberi masa untuk melakukan perubahan pada saat akhir itu memandangkan mereka telah pun bersedia untuk membuka semula pelancongan domestik.
“Perubahan pada saat akhir perlu dielakkan. Secara umumnya, ia tidak sihat untuk sektor perniagaan apabila terdapat ketidaktentuan dalam pelaksanaan,” katanya kepada FMT.
Wong berkata berkata Langkawi harus menjadi petanda aras kepada gelembung pelancongan yang sepatutnya.
Katanya, sudah tiba masanya untuk kerajaan persekutuan menyediakan langkah yang jelas untuk membuka semula pintu sempadan.
“Pelancongan domestik adalah satu permulaan yang baik tetapi ia tidak mampan dalam tempoh jangka panjang memandangkan kita bergantung kepada kemasukan pelancongan asing,” katanya.
Baru-baru ini, Pengurus Besar Tourism Pahang Kamaruddin Ibrahim berkata gelembung pelancongan di Pulau Tioman dan Genting Highlands yang dijadualkan pada 1 Okt, ditangguhkan sementara apabila kerajaan hanya membenarkan pembukaan pusat-pusat pelancongan, pulau-pulau atau kawasan pelancongan beserta aktiviti rentas negeri dengan syarat mencapai 90% kadar vaksinasi dewasa.