Azalina dilantik Penasihat Khas kepada PM

Azalina dilantik Penasihat Khas kepada PM

Ahli Parlimen Pengerang itu berterima kasih kepada Perdana Menteri atas keyakinan beliau untuk melantiknya ke jawatan berkenaan.

Azalina Othman Said menerima surat pelantikannya daripada Ismail Sabri Yaakob. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bekas timbalan speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said yang meletakkan jawatan tidak lama sebelum Jemaah Menteri baharu mengangkat sumpah, telah dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (undang-undang dan hak asasi manusia).

Ketika mengesahkan perkara itu kepada FMT malam tadi, Azalina berkata beliau telah menerima surat pelantikan daripada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis lalu.

Ahli Parlimen Pengerang itu berterima kasih kepada Perdana Menteri atas keyakinan beliau untuk melantiknya ke jawatan berkenaan.

Selepas meletakkan jawatan pada 23 Ogos, iaitu seminggu selepas Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, spekulasi mengatakan Azalina bakal menganggotai barisan Jemaah Menteri baharu dipimpin Ismail tetapi ia tidak berlaku.

Azalina sebelum ini dipetik berkata, beliau membuat keputusan itu atas beberapa alasan termasuk konflik peranan dan tanggungjawab antara menjadi ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Ahli Parlimen dalam sebuah kerajaan gabungan.

“Apa yang berlaku sebelum ini menunjukkan keputusan yang bertentangan dalam UMNO sebagai parti dan Ahli Parlimen sebuah kerajaan gabungan.

“Pada masa hadapan, speaker dan timbalan speaker perlu digantung daripada sebarang jawatan parti politik bagi memastikan beliau tidak berpihak dalam politik, yang menjadi kunci utama jawatan ini dan boleh menjalankan fungsinya dengan berkesan tanpa takut atau pilih kasih,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.