Wanita lebih tua paling teruk terjejas akibat pandemik, dakwa NGO

Wanita lebih tua paling teruk terjejas akibat pandemik, dakwa NGO

Aktivis hak wanita, Irene Xavier berkata wanita lebih tua lebih rentan terhadap kehilangan kerja dan keganasan rumah tangga ketika sekatan pergerakan.

Persatuan Sahabat Wanita Selangor berkata, majoriti wanita lebih tua yang bekerja di sektor tidak formal seperti peniaga makanan, adalah golongan pertama kehilangan kerja dan terpaksa tinggal di rumah bersama saudara-mara yang bertindak kasar.
PETALING JAYA:
NGO hak asasi wanita mendakwa wanita lebih tua paling teruk terjejas ketika pandemik akibat kehilangan pekerjaan dan berdepan keganasan rumah tangga semasa perintah sekatan pergerakan dilaksanakan.

Irene Xavier, perunding dan pengasas bersama Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS) berkata, majoriti wanita lebih tua yang bekerja di sektor tidak formal seperti peniaga makanan adalah golongan pertama yang kehilangan pekerjaan.

Mereka turut berdepan peningkatan keganasan rumah tangga ketika terperangkap di rumah bersama ahli keluarga yang bertindak kasar.

Irene mendapati sesetengah wanita berasa lega dengan kelonggaran sekatan pergerakan baru-baru ini kerana mereka boleh keluar dengan cepat dari rumah yang menjadi tempat tidak selamat bagi mereka.

“Saya berpendapat (sekatan pergerakan) adalah tempoh sukar bagi wanita dan kini perniagaan dibuka semula, saya dapat melihat begitu ramai wanita yang gembira keluar dari rumah untuk pergi bekerja.

“Saya rasa sebabnya ialah rumah bukan tempat selamat untuk mereka,” kata Irene dalam webinar anjuran Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFPA) Malaysia sempena Hari Warga Emas Sedunia 2021, pada setiap 1 Okt.

Dalam webinar sama, Dr Rahimah Ibrahim berkata, persepsi masyarakat terhadap warga emas sebagai pengasuh cucu mereka dan tinggal di rumah sepenuh masa perlu diubah.

Timbalan Pengarah Institut Penuaan Malaysia (MyAgeing) itu berkata, dasar awam yang berpusatkan warga emas tidak patut hanya tertumpu kepada pemberian bantuan, tetapi juga mewujudkan peluang bermakna untuk mereka menjadi anggota masyarakat produktif.

Rahimah turut menggesa pendekatan atas-bawah dikurangkan dalam membuat dasar untuk golongan itu, dengan pihak berkuasa tempatan diberikan kuasa untuk merancang dasar yang memenuhi keperluan populasi semakin tua.

“Kita perlu memastikan dasar perumahan, pengangkutan, penjagaan kesihatan dan pasaran pekerjaan yang mesra terhadap warga emas dan keluarga mereka.”

Komuniti warga emas merangkumi 7% daripada jumlah populasi Malaysia.

Jabatan Perangkaan menganggarkan Malaysia akan menjadi masyarakat semakin tua pada 2030, dengan 15% penduduk berusia 60 tahun dan ke atas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.