Pemandu warga emas tak pernah kemalangan bantah cadangan ujian layak memandu

Pemandu warga emas tak pernah kemalangan bantah cadangan ujian layak memandu

Beberapa warga emas berkata usia tidak penting dalam pemanduan, tetapi cara seseorang itu memandu dan sikap mereka ketika di jalan raya paling penting.

Peguam Bala Mahesan, 76, tidak pernah mengalami kemalangan sejak mendapat lesen memandunya pada usia 17 tahun.
GEORGE TOWN:
Beliau mendapat lesen memandu pada 1962 dan pernah memandu ke Thailand beberapa kali serta mempelajari pemanduan secara defensif lama sebelum istilah itu muncul.

Pada usia 76 tahun, beliau masih memandu bila perlu. Lebih menarik, peguam Bala Mahesan tidak pernah mengalami kemalangan sepanjang hidupnya.

Tidak hairanlah beliau berang dengan cadangan polis trafik baru-baru ini untuk mengehadkan pengeluaran lesen memandu kepada warga emas melebihi usia 60 tahun.

Hari ini ialah Hari Warga Emas Sedunia dan Bala bangkit mempertahankan pemandu berusia.

Bala memberitahu FMT, beliau sudah memandu selama 59 tahun dan melalui “hampir setiap inci jalan di Semenanjung Malaysia” tanpa mengalami sebarang kemalangan.

Beliau masih menyimpan lesen memandu Malaya pertamanya, iaitu buku merah yang dikeluarkan oleh Pendaftar Jalan Raya Batu dan Inspektor Kenderaan Bermotor kepadanya pada 22 Feb 1962, ketika berusia 17 tahun.

Bala Mahesan menunjukkan lesen memandu terkini dan pertama, yang dikeluarkan pada 1962.

Dengan pengalaman selama 48 tahun sebagai peguam yang mengendalikan kebanyakan kes kemalangan jalan raya, katanya, kebanyakan kes membabitkan individu berusia 60 tahun ke bawah. Ini kerana katanya, anak muda mempunyai sikap cuai

Bapanya, mendiang TS Mahesan, ialah ketua pengajar dan inspektor memandu di bawah Rizab Sukarelawan Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Bala mendapat latihan terbaik sebagai pemandu daripadanya.

Beliau mendapat bimbingan selama berbulan-bulan daripada bapanya yang tegas di kawasan rumah mereka di Jalan Abdullah, Bangsar, dengan menggunakan kereta Chevrolet 1947 milik mereka.

Bala, yang berpindah dari Kuala Lumpur ke Ipoh dan kemudian Pulau Pinang, memiliki lebih lima kereta dan selalu mempraktikkan cara pemanduan yang diajar bapanya.

“Ayah mengajar saya pemanduan jangkaan. Ini bermakna anda sentiasa berwaspada terhadap apa yang mungkin dilakukan pemandu lain seterusnya dan mengekalkan jarak selamat dari mereka.”

Seorang lagi warga emas, Jagjit Singh Sidhu, 80, berkata, usia tidak penting dalam pemanduan, paling penting ialah cara seseorang itu memandu dan sikap mereka ketika di jalan raya.

Bala Mahesan menunjukkan koleksi model kereta tuangan terapnya.

Peguam itu memberitahu FMT, beliau pernah memandu ketika latihannya di Pulau Pulau ke Putrajaya pada pagi dan pulang sebelah petang, semuanya tanpa banyak masalah.

“Jika saya berasa letih, saya akan berehat. Dengan mematuhi undang-undang, anda boleh kekal selamat. Cara anda memandu yang penting, bukan usia anda.”

Guru bersara, KM Nambiar, 81, berkata, kebanyakan orang akan lebih berhati-hati di jalan raya ketika mereka semakin berusia untuk mengelakkan kemalangan yang disebabkan pemandu muda yang terburu-buru.

Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, 95, adalah antara orangnya. Beliau dipuji Menteri Pengangkutan kerana cara pemanduan selamat.

Nambiar tidak bersetuju perlunya menetapkan had umur untuk memandu, tetapi pemeriksaan mata perlu dilakukan secara berkala.

Minggu lalu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Azisman Alias mencadangkan warga emas menjalani pemeriksaan kesihatan sebagai sebahagian daripada ujian kelayakan untuk mengurangkan risiko kemalangan.

Katanya, 17% kematian membabitkan kemalangan jalan raya berpunca daripada warga emas.

Ia disusuli kenyataan Ketua Polis Negara bahawa Azisman sekadar menyuarakan pandangan peribadi yang tidak mewakili pasukan itu.

Mewajibkan pemandu berusia menjalani ujian bukan perkara baru. Singapura menghendaki warga emas berusia 65 tahun ke atas menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya dua bulan sebelum mereka memperbaharui lesen memandu.

Banyak negara Barat turut mewajibkan pemeriksaan lebih ketat atau kerap untuk pemandu berusia berbanding individu berusia 60 tahun ke bawah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.