NGO mahu bincang dengan KKM, menteri tangani jualan arak palsu, murah

NGO mahu bincang dengan KKM, menteri tangani jualan arak palsu, murah

Pergerakan Anti Arak Murah Malaysia pernah mengadakan mesyuarat dengan KKM, bekas menteri dan timbalannya pada 2019, tetapi tiada tindakan susulan terhadap cadangan mereka.

Pergerakan Anti Arak Murah Malaysia menggesa kerajaan mengambil tindakan menyeluruh agar penjualan arak palsu dan murah dapat ditangani segera.
PETALING JAYA:
Pergerakan Anti Arak Murah Malaysia mahu berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk mencari jalan menangani penjualan arak palsu dan murah di pasaran, susulan laporan 33 kematian akibat keracunan metanol sejak 9 Sept lepas hingga semalam.

Ketuanya, David Marshel menggesa kerajaan mengambil tindakan menyeluruh agar isu itu dapat ditangani segera tanpa menjejaskan pendapatan kerajaan mahupun hak bukan Islam meminum arak.

Beliau berkata, pihaknya tanpa sebarang peruntukan kewangan dari Putrajaya mengadakan beberapa siri kempen kesedaran bagi membantu kerajaan mengawal penjualan arak secara terbuka dan meluas di pasaran.

“Kami juga berjumpa dan mengadakan mesyuarat dengan KKM, bekas menteri dan timbalannya pada 2019 untuk syorkan beberapa kaedah dan dasar bagi penjualan arak di Malaysia.

“Namun, tiada tindakan susulan yang kini kita saksikan kematian kembali berlaku,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, 33 kematian akibat keracunan metanol sejak 9 Sept lepas hingga semalam membabitkan 18 atau 55% warganegara dan 15 kes atau 45% warga asing dari Myanmar, India serta Nepal.

Semalam, DBKL mengumumkan penguatkuasaan Garis Panduan Lesen Minuman Keras (LMK), yang tidak membenarkan penjualan arak (liquor) di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat cina, ditangguhkan sebulan untuk memuktamadkan kajian berkaitan kawalan penjualan alkohol di Kuala Lumpur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.