Idea Ahmad Maslan wajibkan pengundian dibantah

Idea Ahmad Maslan wajibkan pengundian dibantah

Ini dipercayai akan mencabul hak penyertaan rakyat, kata Pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan baru-baru ini menggesa agar pindaan dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan untuk mewajibkan rakyat Malaysia mengundi dalam pilihan raya.
PETALING JAYA:
Sebuah badan pemerhati pilihan raya dan seorang penganalisis politik tidak bersetuju dengan gesaan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan agar pengundian dalam pilihan raya diwajibkan.

Ini boleh mengakibatkan ketidakadilan, kata Pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann dan Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.

Ahmad, yang juga Ahli Parlimen Pontian, baru-baru ini menggesa agar pindaan dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan untuk mewajibkan rakyat Malaysia mengundi dalam pilihan raya, dengan mencadangkan agar mereka yang melanggar peruntukan ini didenda atau dilarang memperbaharui lesen memandu.

Menurut beliau, pengundian diwajibkan di 22 negara, termasuk Thailand dan Singapura.

Thomas Fann.

Fann berpandangan, Malaysia mesti terus menghormati hak rakyat untuk tidak mengundi.

“Kami tidak setuju dengan usul mewajibkan pengundian kerana kami percaya ini mencabul hak penyertaan rakyat,” katanya kepada FMT.

“Jika kita ingin lihat lebih ramai keluar mengundi, kita tidak boleh menggunakan langkah bersifat punitif, sebaliknya mendidik pengundi mengenai kepentingan mengundi.

“Dengan Undi 18 akan dilaksanakan tak lama lagi, kita perlu memulakan pendidikan sivik untuk menyebarkan pemahaman mengenai proses pengundian dan kepentingan mengundi.

“Itu adalah kaedah lebih baik untuk meningkatkan penyertaan demokratik.”

Beliau berkata, ahli politik sepatutnya fokus untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap sistem politik dan demokrasi dengan memperbaiki kelemahan sistemik dan keadaan yang memungkinkan berlakunya perubahan kerajaan pada pertengahan penggal menerusi tindakan melompat parti.

“Mereka mesti memberi sebab bagi orang ramai untuk percaya bahawa mengundi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) masih berbaloi,” katanya.

Oh Ei Sun.

Oh berkata, pengundian wajib mungkin secara tidak adil menghukum rakyat di kawasan luar bandar yang sering menghadapi kesukaran untuk keluar mengundi. Ini terutamanya berlaku kepada pengundi luar bandar di Malaysia Timur, tambahnya.

Katanya, kerajaan harus fokus kepada isu lebih penting seperti memperbaiki sistem pengundian dan mempermudah urusan pengundi luar bandar.

Beliau yakin gesaan Ahmad hanya akan menguntungkan Umno.

“Setakat ini, hanya Umno yang ada kemampuan logistik untuk menyediakan bantuan pengangkutan kepada calon pengundi di luar bandar,” katanya.

“Saya tak rasa parti lain ada kemampuan yang serupa. Oleh itu hanya Umno yang boleh membawa pengundi keluar mengundi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.