
Utusan Malaysia melaporkan Ahmad Salahudin Abu Bakar, 42, dan Yusni Yusof, 45, masing-masing membuat pengakuan itu selepas lima tuduhan utama dan lima tuduhan pilihan dibacakan secara berasingan di hadapan hakim Rihaida Rafie.
Menurut lima tuduhan utama, Ahmad Salahudin yang bertugas sebagai Ketua Unit Pembiayaan di Bank Rakyat Cawangan Presint 15, Putrajaya, didakwa menerima rasuah berjumlah RM31,100 melalui akaun CIMB milik syarikatnya sebagai dorongan untuk membantu dalam proses permohonan pembiayaan peribadi enam individu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Kajang antara 6 Sept 2019 hingga 1 Nov 2019.
Dalam tuduhan pilihan pula, dia didakwa sebagai penjawat awam menerima RM31,100 melalui transaksi dalam talian ke akaun milik syarikatnya dengan tiada balasan berkaitan tugas-tugas rasminya di lokasi dan tarikh yang sama.
Yusni yang bertugas sebagai Kerani Tingkatan Khas, Unit Pembiayaan di cawangan yang sama, didakwa menerima rasuah berjumlah RM28,150 melalui akaun Hong Leong Bank sebagai dorongan untuk membantu dalam proses permohonan pembiayaan peribadi bagi enam individu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Hong Leong Bank, Kampung Baru Seri Kembangan antara 6 Sept 2019 hingga 1 Nov 2019.
Bagi pertuduhan pilihan, Yusni didakwa sebagai penjawat awam menerima RM28,150 melalui transaksi dalam talian yang diketahui mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasminya bagi permohonan pembiayaan peribadi di lokasi dan tarikh yang sama.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta sama. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Bagi pertuduhan pilihan, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Noryusriza Zulkifli mencadangkan jaminan masing-masing sebanyak RM20,000 bagi setiap tertuduh.
Selain itu, beliau mencadangkan syarat tambahan dikenakan, iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM terdekat pada 1 hari bulan setiap bulan serta tidak mengganggu atau menghubungi saksi.
Peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh, Muhammad Shafiq Shamsudin, merayu agar jumlah jaminan lebih rendah ditetapkan, memandangkan anak-anak guamnya memberikan kerjasama sejak ditahan pada 9 Jun lalu.
Katanya lagi, mereka sebelum ini turut dibebaskan dengan bon jaminan SPRM sebanyak RM10,000, selain telah melapor diri mengikut tarikh-tarikh yang ditetapkan.
Mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 bagi Ahmad Salahudin dan RM13,000 bagi Yusni dengan seorang penjamin, serta membenarkan syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan pada 16 Nov.