
Katanya, selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada Mac 2020, pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung kerosakan fizikal Seri Perdana yang merupakan kediaman rasmi Perdana Menteri.
Beliau berkata, kerosakan itu melibatkan kebocoran, sistem pencahayaan lama, keadaan fizikal lantai dan bumbung yang rosak atau usang.
“Kebocoran bumbung Seri Perdana dan sistem perpaipan menyebabkan kerosakan perabot ‘built-in’, lantai kayu, panel dinding dan siling bangunan.
“Selain itu, saya juga dimaklumkan pendawaian elektrik, pencahayaan dan peralatan mekanikal seperti penghawa dingin juga perlu dibaik pulih kerana terlalu usang.
“Menurut pandangan pakar, sistem pendawaian bangunan Seri Perdana yang berusia lebih 20 tahun boleh mendatangkan risiko kebakaran jika tidak dibaik pulih segera,” katanya dalam kenyataan.
Muhyiddin berkata, Seri Perdana yang berkeluasan lebih 56,000 kaki persegi juga menyebabkan kos baik pulih bangunan milik kerajaan itu agak tinggi.
“Jika ia tidak dibaik pulih dengan segera, bangunan warisan kerajaan ini akan mengalami kerosakan lebih teruk pada masa hadapan dan kos membaik pulih pastinya akan meningkat.”
Beliau berkata, JPM turut mengesyorkan perolehan perabot dibuat kerana kebanyakan aset perabot di Seri Perdana yang didakwa milik peribadi bekas Perdana Menteri keenam (Najib Razak) sudah dipindah keluar.
Demi memastikan proses baik pulih dilaksanakan mengikut spesifikasi ditetapkan dengan hasil berkualiti katanya, kerja itu dipantau pasukan petugas yang dianggotai pegawai Jabatan Kerja Raya dan JPM.
“Untuk rekod, saya tidak pernah menduduki Seri Perdana sepanjang saya berkhidmat sebagai Perdana Menteri.”