
Rayer berkata, beliau mendapati apabila bergelar sebagai Ahli Parlimen pembangkang, maka peluang dan ruang yang diberikan adalah terhad, justeru terdapat keperluan untuk lebih lantang dalam mengemukakan persoalan yang melibatkan isu rakyat.
“Mungkin sikap saya dalam Parlimen agak lantang tegas dan mungkin dipandang nakal tetapi di luar dengan rakyat saya lebih mesra.
“Dalam kalangan rakyat saya lebih lembut tidak pernah berlaku bertegang urat,” katanya pada Live Facebook Borak Dahsyat – Kenapa Bising Dalam Parlimen?, semalam.
Ditanya berkenaan pindaan dan penambahbaikan peraturan di Dewan Rakyat, beliau berkata, ia sesuatu perkara yang perlu diberi perhatian dan mampu dilaksanakan.
Mengambil contoh perbahasan pada 28 Sept lalu, apabila beliau tidak dibenarkan mencelah ketika Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak berbahas mengenai cukai GST dan SST, ujarnya ia adalah sesuatu yang tidak wajar berlaku.
“Ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-12, YB Pekan (Najib) telah pun mengemukakan perbahasan, beliau mencadangkan pengembalian GST dan cukai-cukai lain.
“Ketika beliau berucap dalam satu majlis beberapa tahun lalu, beliau ada berkata, membayar cukai kepada LHDN adalah tanggungjawab kita sebagai rakyat, tetapi sendiri tak bayar,” katanya.
Rayer berkata, jika dilihat mengenai senario yang berlaku ketika itu, apabila perbahasan seseorang Ahli Parlimen tidak bernas serta mengelirukan, maka speaker sewajarnya memberi peluang kepada pihak pembangkang untuk mengemukakan pandangan.
“Saya percaya bahawa peraturan-peraturan dewan boleh ditambah baik untuk membenarkan kami sebagai ahli Dewan Rakyat pembangkang untuk mengemukakan pandangan kami di atas perkara itu, bukanlah niat kami untuk melawan speaker,” ujarnya.