
Muhyiddin berkata, beliau tidak tinggal di kediaman rasmi itu ketika menjadi Perdana Menteri, tetapi dimaklumkan ada perabot di situ milik Perdana Menteri keenam itu.
“Ada perabot dan candelier yang dikatakan milik Perdana Menteri keenam.
“Jika perabot itu miliknya seperti didakwa, maka terserah kepada JPM untuk membenarkan beliau mengambilnya,” katanya kepada pemberita.
Perabot berkenaan dikeluarkan bagi membolehkan pembaikan dilakukan di kediaman rasmi Perdana Menteri, tambahnya.
Muhyiddin berkata, beliau tidak pasti jika ada inventori dibuat kerana itu bukan tanggungjawabnya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional selama tiga jam di ibu pejabat Bersatu, di sini.
Semalam, Najib mempersoalkan RM38.5 juta yang dibelanjakan oleh kerajaan untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan dan pengubahsuaian di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya.
Sebelumnya, Muhyiddin dilaporkan berkata, beliau bersetuju membuat pengubahsuaian Seri Perdana setelah menerima laporan terperinci dari JPM mengenai kerosakan besar yang berlaku pada kompleks berusia 22 tahun itu.
Beliau berkata, kerosakan itu melibatkan kebocoran, sistem pencahayaan lama, keadaan lantai yang teruk serta kerosakan bumbung.
Bumbung bocor dan saluran paip lama juga merosakkan kabinet bina dalam, lantai kayu, panel dinding dan siling.
Selanjutnya, Muhyiddin berkata, beliau diberitahu bahawa pendawaian elektrik dan lampu serta peralatan mekanikal, seperti pendingin udara, juga perlu diperbaiki.
Keluasan kompleks itu, yang meliputi kawasan seluas lebih dari 5,202 meter persegi, juga mengakibatkan kos memperbaiki bangunan milik kerajaan itu agak tinggi, kata Muhyiddin.
Kenyataannya itu susulan Menteri Tugas-Tugas Khas, Abd Latiff Ahmad memberitahu Parlimen bahawa rancangan untuk mengubah suai kompleks berkenaan dengan kos RM38.5 juta diluluskan pada bulan Mac, ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.