Industri pembinaan rugi RM42 bilion akibat Covid-19, kata menteri

Industri pembinaan rugi RM42 bilion akibat Covid-19, kata menteri

Daripada jumlah itu RM24 bilion merupakan kerugian daripada pelaksanaan PKP 1.0 pada 2020 yang menjejaskan pelaksanaan kerja pembinaan.

Antara cabaran dihadapi sektor pembinaan adalah kenaikan kos bahan binaan, kos upah pekerja dan kos Program Rekalibrasi Tenaga Kerja, kata Fadillah Yusof.
KUALA LUMPUR:
Sektor pembinaan mengalami penurunan kadar pertumbuhan sebanyak 19.4% pada 2020, terus menurun pada kadar 10.4% kesan daripada pandemik Covid -19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Kerja Raya, Fadillah Yusof berkata, angka itu bagaimanapun kembali meningkat pada kadar 40.3% pada suku kedua 2021.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan PKP bermula dari 18 Mac 2020 sehingga kini, industri pembinaan dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM42 bilion. Daripada jumlah ini, RM18 bilion adalah anggaran kerugian dalam tempoh PKP 3.0 yang bermula pada 1 Jun 2021 sehingga September 2021.

“…sementara bakinya RM24 bilion merupakan kerugian susulan pelaksanaan PKP 1.0 pada 2020 yang menjejaskan pelaksanaan kerja pembinaan dari Mac hingga Julai 2020,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab pertayaan Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang meminta kerajaan menjelaskan cabaran yang dihadapi sektor pembinaan akibat Covid-19 dan bagaimanakah kementerian membantu sektor itu dalam mendepani cabaran.

Mengulas lanjut Fadillah berkata, antara cabaran yang dihadapi oleh sektor pembinaan ialah kenaikan kos bahan binaan, kos upah pekerja, kos Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang terpaksa ditanggung kontraktor serta pengenaan syarat ketat bagi mendapatkan kelulusan.

Selain itu, cabaran lain ialah penambahan kos kepada majikan bagi menyediakan penginapan pekerja binaan untuk memenuhi syarat dalam Akta 446, kos pematuhan SOP yang perlu ditanggung sepenuhnya oleh kontraktor dan keperluan mewujudkan tempoh lanjutan masa dalam Akta 829.

Katanya, pihak kementerian bersama agensi di bawahnya termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) telah mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pemain industri bagi mendepani cabaran yang timbul serta mencari penyelesaian.

Fadillah berkata, antara penyelesaian yang dibuat bagi menghadapi isu kenaikan harga bahan binaan, pihaknya telah mengemukakan cadangan untuk mewujudkan semula peruntukan pengiraan klausa perubahan harga kepada Kementerian Kewangan.

“Menjalankan inisiatif ‘Construction Industry Vaccination Program (CIVac)’ bagi membantu pekerja-pekerja sektor pembinaan mendapatkan suntikan vaksin dan seterusnya membolehkan kerja-kerja di tapak pembinaan diteruskan tanpa kekurangan pekerja

“Kerajaan telah bersetuju melonggarkan syarat rekalibrasi khusus untuk pekerja binaan. Kerajaan menggalakkan penyediaan ‘Centralised Labour Quarters (CLQ)’ atau kawasan penginapan pekerja oleh penyedia perkhidmatan. Bagi projek kerajaan kos pematuhan SOP bagi tempoh tertentu telah disenaraikan dalam kerja awalan,” katanya.

Katanya, selain mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan bagi mengawal harga bahan binaan, pihaknya juga turut menyediakan beberapa bantuan untuk meringankan beban sektor itu yang terjejas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.