Beri negeri autonomi dalam penjagaan kesihatan, kerajaan diberitahu

Beri negeri autonomi dalam penjagaan kesihatan, kerajaan diberitahu

Ini akan memberi banyak manfaat kepada negeri-negeri yang mana sistem penjagaan kesihatannya terbeban, seperti Sarawak, kata Ahli Parlimen.

Sarawak mempunyai seorang doktor bagi setiap 682 orang penduduk tahun lalu, menjadikan taburan pengamal perubatan di negeri ini 1.5 kali lebih kecil daripada nisbah 1:454 di seluruh negara, menurut Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen menggesa kerajaan supaya menyahpusat sistem penjagaan kesihatan bagi memberi ruang kepada negeri-negeri untuk membuat keputusan sendiri.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata, ini akan memberi banyak manfaat kepada negeri-negeri yang sistem penjagaan kesihatannya terbeban, seperti Sarawak yang kini berdepan lonjakan kes Covid-19.

Beliau mendakwa, infrastruktur kesihatan di Sarawak telah diabaikan bertahun-tahun dan berkata, negeri itu harus diberi autonomi untuk membuat keputusan mengenai tenaga kerja dan pelaburan.

“Sejak lonjakan kes Covid-19, kami dapat lihat bagaimana sistem yang sedia lemah dan kekurangan dana menjadi terbeban,” katanya.

Dr Kelvin Yii.

“Doktor mengadu keletihan dan wad-wad turut terbeban, terutamanya di hospital-hospital kecil di luar Kuching.

“Saiz negeri ini dan penyebaran populasinya yang luas tidak patut menjadi sebab rakyat Sarawak mendapat tahap penjagaan kesihatan yang lebih rendah.”

Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak Dr Annuar Rapaee baru-baru ini berkata, harus ada tahap perkhidmatan minimum dalam penyediaan penjagaan kesihatan di negeri berkenaan.

“Setiap klinik mesti mempunyai doktor, mesin sinar-X dan makmal kecil. Jika semua klinik ada kemudahan ini, maka semua orang dapat menikmati perkhidmatan yang sama. Jadi Wawasan Kemakmuran Bersama dapat menjadi kenyataan,” katanya.

Dr Annuar Rapaee.

Yii berkata, Sarawak mempunyai seorang doktor bagi setiap 682 orang penduduk tahun lalu, menjadikan taburan pengamal perubatan di negeri ini 1.5 kali lebih kecil daripada nisbah 1:454 di seluruh negara.

Beliau memetik statistik yang menunjukkan 98 daripada 215 klinik desa hanya dikendalikan oleh pembantu perubatan dan jururawat. Klinik-klinik berkenaan hanya dilengkapi ubat-ubatan asas seperti paracetamol.

Klinik desa dan pedalaman sangat bergantung kepada perkhidmatan perubatan bergerak tidak tetap yang disediakan melalui udara dan air. Yii mendakwa, Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) dan Perkhidmatan Pemindahan Perubatan akan pergi ke kampung-kampung hanya sebulan sekali.

“Walaupun FDS mengunjungi kampung-kampung setiap bulan, pasukan kesihatannya hanya meluangkan tiga jam di sesuatu tempat,” katanya.

Dr Lee Boon Chye.

Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) menyebut mengenai pengukuhan klinik kesihatan luar bandar.

Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye memberitahu FMT, ini sangat penting bagi Sarawak, memandangkan ukuran dan geografinya.

“Kerajaan negeri dapat memainkan peranan penting dalam memastikan kemudahan asas, termasuk bekalan air bersih, elektrik, jalur lebar dan akses jalan raya (tersedia), agar masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam mendapatkan penjagaan kesihatan yang berkualiti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.