
Presiden PKR itu menyangkal dakwaan Muhammed Yusoff Rawther bahawa dia datang ke kediaman berkenaan kira-kira 3 petang pada 2 Okt 2018, ketika kejadian itu didakwa berlaku.
“DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tidak menemui Yusoff di kediamannya (pada 2 Okt 2018) seperti yang didakwa,” menurut pernyataan pembelaan difailkan semalam yang dilihat oleh FMT.
Sebaliknya kata Anwar, beliau melayan keluarga dan rakannya antara 2 petang dan 6 petang pada hari berkenaan.
Katanya, kenyataan Yusoff itu “direka-reka dan palsu sama sekali”.
Anwar juga memfailkan tuntutan balas yang mendakwa Yusoff mengemukakan keterangan subahat dengan individu yang tidak diketahui untuk mencemarkan imej politiknya.
Katanya, ini dilakukan pertamanya untuk menghalangnya daripada menjadi perdana menteri untuk mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Dr Mahathir Mohamad.
“Dakwaan ini bertujuan mencemarkan reputasi politiknya menjelang Kongres Nasional PKR ke-14 dan menjejaskan proses peralihan tampuk pemerintahan negara daripada Mahathir,” menurut pernyataan tuntutan balas yang difailkan oleh Tetuan Jeffrey Lee itu.
Menurut Anwar, ketika kongres berkenaan diadakan di Melaka pada Disember 2019, terdapat perselisihan antara beliau dan penyokong timbalan presidennya ketika itu, Azmin Ali.
Katanya, saman Yusoff menyalah guna proses dan bukan berniat untuk mendapatkan tebus rugi dari segi undang-undang.
Beliau berkata, plaintif hanya mengesahkan perisytiharan berkanun pada 19 Nov 2019, iaitu lebih setahun selepas serangan seksual berkenaan didakwa berlaku dan dua minggu sebelum kongres diadakan.
Kata Anwar, Yusoff mengatur masa dalam mengemukakan samannya “ketika atau sekitar tempoh kemungkinan beliau menjadi perdana menteri ekoran ketidaktentuan politik pada pertengahan tahun ini”.
Pada ketika itu, Ahli-ahli Parlimen Umno menuntut Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai perdana menteri dan memberi laluan kepadanya untuk menjadi pengganti, kata Anwar.
Beliau turut meminta ganti rugi dan relief lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah.
Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada Julai, Yusoff mendakwa serangan seksual itu berlaku pada 2 Okt 2018 di kediaman Anwar di Segambut.
Menurut Yusoff, dia diminta oleh setiausaha peribadi defendan, Shukri Saad, untuk menyerahkan teks ucapan untuk disampaikan oleh Anwar sempena ulang tahun ke-150 Mahatma Gandhi. Yusoff mendakwa, ketika itulah Anwar melakukan serangan seksual terhadapnya.
Kata Yusoff, dia dan Anwar tidak berhubung selama kira-kira sebulan selepas kejadian yang didakwanya itu walaupun dia masih bekerja dengan Anwar sebelum meletak jawatan pada 24 Jun 2019.
Yusoff memfailkan laporan polis terhadap Anwar pada 7 Dis 2019.
Dia juga mendakwa dituduh bersubahat bagi menjatuhkan dan merosakkan kerjaya politik Anwar, seterusnya menjejaskan kesihatan mentalnya.