
Anggota SPR, Faisal Hazis, mencadangkan agar jawatankuasa pelantikan bebas diberi autonomi penuh dalam memproses dan membuat pencalonan.
Katanya, proses ini harus menggantikan fungsi perdana menteri, yang lazimnya mencalonkan anggota SPR.
Bercakap pada forum anjuran Sinar Harian bertajuk “Forum Reformasi Pilihanraya – Ke Arah Mewakili Suara Sebenar Rakyat” semalam, Faisal menyarankan agar SPR diberi kuasa penuh untuk melaksanakan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Ia juga harus diberikan lebih banyak autonomi kewangan tambahnya, terutama berkaitan hal-hal seperti pengambilan tenaga kerja untuk melaksanakan perubahan yang dijanjikan kerajaan dalam menurunkan usia pengundi kepada 18 tahun (Undi 18) dan pendaftaran automatik pengundi serta kegiatan pendidikan pengundi.
Katanya lagi, SPR harus diberi kuasa untuk menguatkuasakan Akta Kesalahan Pilihan Raya untuk menghukum pesalah, iaitu satu langkah yang perlu memandangkan badan berkenaan sering dikritik sebagai “harimau tidak bergigi” dalam menangani kesalahan berkaitan pilihan raya.
Faisal berkata, Parlimen harus dibenarkan terlibat secara lebih besar dalam mengawasi proses pilihan raya negara.
“Perlunya satu jawatankuasa khas Parlimen atau tetap ditubuhkan untuk memantau urusan pilihan raya negara,” katanya.
“Jawatankuasa ini akan menjawab segala persoalan mengenai sistem pilihan raya di Parlimen.”
Bercakap pada forum yang sama, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah menekankan perlunya SPR bebas daripada pengaruh eksekutif.
Beliau juga menyeru agar proses persempadanan semula disemak kerana ia “terlalu bermotifkan politik” dan kerajaan harus menyusun rancangan lebih jelas untuk membuktikan komitmennya dalam mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil.
“Saya berharap kerajaan akan mewujudkan satu ‘roadmap’ yang jelas untuk mengendalikan pilihan raya yang bebas dan adil,” katanya.
“Semua gerak kerja dari sekarang hingga PRU15 (pilihan raya umum ke-15) perlu dibentangkan.”
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Mas Ermieyati Samsudin mengulangi komitmen kerajaan untuk mempercepat pelaksanaan perubahan seperti Undi 18 dan pendaftaran automatik pengundi, selain memperkenalkan Akta Pembiayaan Dana Politik.
Apabila ditanya mengenai kesediaan kerajaan untuk menerbitkan laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya, yang masih belum didedahkan, Mas Ermieyati berkata, menteri yang bertanggungjawab sebelum ini, Takiyuddin Hassan, memberi jaminan ia akan dibentang dan dibahaskan di Parlimen.
Laporan itu, yang mengandungi 49 saranan, disampaikan kepada perdana menteri terdahulu, Muhyiddin Yassin, pada Ogos tahun lepas.