Tanggungjawab berat menanti guru dalam ‘norma baharu’ di sekolah

Tanggungjawab berat menanti guru dalam ‘norma baharu’ di sekolah

Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan garis panduan bagi guru dan pentadbir untuk operasi sekolah apabila dibuka secara secara berperingkat mulai 3 Okt.

Mana-mana guru, murid atau warga sekolah yang mencatatkan suhu badan melebihi 37.5°C atau bergejala tidak akan dibenarkan masuk ke kawasan sekolah, menurut garis panduan terbaru KPM.
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) menggariskan panduan yang ketat bagi pembukaan semula sekolah secara berperingkat mulai 3 Okt.

Dokumen setebal 120 halaman bagi “Pengurusan Dan Pengoperasian Sekolah 3.0” itu menggariskan tugas-tugas tambahan bagi guru dan pentadbir sekolah seperti penyediaan bilik isolasi, ruangan bagi ujian kendiri, penubuhan jawatankuasa dan pengawasan murid ketika berada di sekolah.

Menyedari bahawa penutupan sekolah yang panjang sejak Mac tahun lepas mungkin memberi kesan kepada segelintir murid, KPM memberi tanggungjawab kepada guru bimbingan dan kaunseling untuk menjalankan “Saringan Minda Sihat” secara berkala sebagai “norma baharu” di sekolah.

Berdasarkan saranan, pergerakan murid sekolah mestilah diuruskan mengikut sistem berejimen dengan laluan keluar dan masuk sehala, ruang menunggu sama ada dalam kawasan sekolah atau bilik darjah dan penyuraian secara berperingkat mengikut jenis pengangkutan.

Menurut garis panduan ini, pentadbir turut disarankan menubuhkan jawatankuasa Covid-19 bagi mengendalikan pengujian kendiri dan hal-hal berkaitan pengurusan sekolah.

Selain itu, guru dan kakitangan yang tidak mendapat vaksin tidak dibenarkan berada dalam ruangan yang sama dengan mereka yang telah lengkap vaksinasi. Bilik yang berasingan perlu disediakan buat mereka.

“Pentadbir bertanggungjawab memastikan kawasan dan bangunan sekolah, termasuk semua bilik darjah, dibersihkan sebelum sesi persekolahan bermula dan selepas tamat sesi persekolahan pada setiap hari,” kata KPM.

Fokus utama pembersihan katanya, adalah pada permukaan yang sering disentuh seperti tombol pintu, suis lampu, sinki, kepala paip, butang lif, pengepam tandas dan susur tangan di laluan pergerakan murid.

Guna kipas, bukan penyaman udara

Sekolah digalakkan menggunakan kipas berbanding penyaman udara, memastikan tingkap dan pintu sentiasa dibuka dan langsir ditanggalkan bagi membantu aliran udara, selain tidak menggunakan sebarang permaidani atau tikar dalam bilik darjah.

“Penyaman udara boleh digunakan pada tahap minimum, namun suhunya mesti dikekalkan dalam julat 23ºC – 26ºC,” kata KPM.

Saringan suhu badan terhadap murid, guru dan warga sekolah mesti dilakukan setiap hari di pintu masuk sekolah sebelum sesi persekolahan bermula.

“Jika suhu badan melebihi 37.5°C atau bergejala, mereka tidak dibenarkan masuk ke kawasan sekolah.”

Pihak pentadbir sekolah juga bertanggungjawab menjaga kerahsiaan warga sekolah yang disahkan positif Covid-19, menurut garis panduan itu.

Hanya murid, guru dan warga sekolah dibenarkan menggunakan premis dan kemudahan di sekolah seperti dewan dan surau. Pihak luar, termasuk orang kenamaan, tidak dibenarkan memasuki kawasan sekolah kecuali bagi tujuan pembaikan dan penyelenggaraan dengan syarat telah lengkap vaksinasi.

Berkenaan kesihatan mental murid, KPM menyarankan guru bimbingan dan kaunseling melaksanakan “Saringan Minda Sihat” secara berkala dan merujuk kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk penilaian klinikal serta fasiliti kesihatan bagi rawatan atau intervensi segera dalam kes kritikal seperti membahayakan diri atau membabitkan penderaan.

Mereka turut disarankan mengadakan konsultasi dengan ibu bapa atau penjaga bagi membantu menyokong perkembangan emosi murid.

Murid makan di dalam bilik darjah

Menurut garis panduan itu, pengusaha kantin hanya dibenarkan menyediakan makanan berbungkus dan murid-murid mesti makan di dalam bilik darjah dengan seliaan guru pada waktu rehat.

“Bagi bilik yang berhawa dingin, murid perlu makan di ruang terbuka dengan seliaan guru. Guru makan di dalam bilik guru secara individu,” katanya.

KPM turut menyarankan ibu bapa atau penjaga menyediakan makanan dan minuman dari rumah bagi mengurangkan pergerakan dan kesesakan di kantin, selain memastikan anak mereka makan sarapan yang sesuai sebelum hadir ke sekolah.

“(Mereka mesti) menasihati anak/jagaan agar tidak berkongsi makanan dan minuman dengan murid lain,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.