
Beliau dalam kenyataan berkata, projek itu diluluskan 19 Mac lalu dan mula dilaksanakan 10 hari kemudian.
Katanya, projek itu dijangka siap pada 7 Dis ini dan kini mencapai 74% kemajuan berbanding 71% seperti dalam jadual.
Beliau berkata, projek itu perlu dilaksanakan berikutan usia Kompleks Seri Perdana kini mencecah 22 tahun dan mengalami banyak kerosakan.
“Justeru, Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat skop kerja membaik pulih dengan kos keseluruhan sebanyak RM38.5 juta.
“Ia termasuk kerja penggantian sistem pendawaian elektrik dan kebocoran atap Kompleks Seri Perdana,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini dilaporkan kerja mengubah suai dan menaik taraf sebanyak RM30 juta diperlukan untuk menjamin keselamatan serta menjaga imej negara dalam menyambut tetamu utama negara semasa program rasmi perdana menteri.
Penjelasan itu menyusul pertanyaan Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) berhubung kewajaran perbelanjaan itu ketika rakyat berdepan kesan daripada pandemik Covid-19.
Semalam, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Amiruddin Hamzah menyifatkan pengubahsuaian kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana membabitkan kos RM30 juta sebagai “tidak sensitif”.
Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh pula berkata, kos jutaan ringgit itu boleh membiayai lebih 200,000 bakul makanan di 70 kawasan.