
Tertuduh Alek Libau, 58, didakwa mengeluarkan wang itu antara 2018 hingga 2019 bagi membayar wang pendahuluan sewa beli lori miliknya.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan hakim Steve Ritikos.
Tertuduh didakwa menyalahgunakan dana projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM35,000.
Menurut laporan Harian Metro, dana MRP itu adalah peruntukan bagi projek menaik taraf jalan kampung di Kampung Ensebang Kuari Baru di Serian.
Dana itu dimasukkan ke dalam akaun Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Ensebang Kuari Baru di Bank Hong Leong Islamic di Serian.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin tempatan dan menetapkan 13 Oktober ini untuk pengurusan kes.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif, manakala tertuduh diwakili peguam, Jonathan Tay.