
BBP #SavePJJUSM berkata, mereka menuntut penjelasan dekan PJJ secara rasmi bagi menghilangkan kebimbangan pelajar berikutan program pengajian akan bermula dalam beberapa minggu lagi.
Katanya, badan itu memandang serius pandangan bekas dekan PJJ bahawa langkah penstrukturan semula sekadar menjadi pusat perkhidmatan (service centre) pengajian, sebagai tindakan undur ke belakang, selain merugikan PJJ.
“Kami berpandangan sesi libat urus bersama pensyarah dan pelajar perlu dibuat segera secara telus bagi merungkai keresahan semua pihak.
“Kami berpendapat tindakan terus membisu pihak dekan PJJ boleh menjejaskan kredibiliti institusi dan profesionalisme,” katanya memetik laporan Harakahdaily.
Malah terdapat alumni PJJ menaikkan tanda pagar ‘#prayforpppjjusm’ sebagai gerakan maya membantah cadangan terbabit.
Menurut gerakan berkenaan, alasan dikemukakan PPPJJ USM tidak menjana ‘keuntungan’ yang tinggi turut dipertikaikan.
Mereka mengajak pelajar, graduan atau alumni USM membantah cadangan tersebut kerana PJJ USM sudah berusia 50 tahun dan membawa agenda nasional.
“PJJ USM membantu pelajar kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Isu tersebut turut menarik perhatian bekas pengarah Pusat Pengajian Luar Kampus (PPLK) USM, Qasim Ahmad.
Pada 24 September lalu, FMT melaporkan pihak pengurusan USM dikatakan sedang mempertimbangkan beberapa perkara untuk memastikan pelajar PJJ menerima kualiti pengajaran lebih baik.
Cadangan penstrukturan semula pusat pengajian itu dibuat agar semua kakitangan akademik PJJ USM dikembalikan ke pusat pengajian asal supaya mereka lebih kukuh dari aspek akademik.