Usahawan Melayu tak teruja dasar ‘hanya Bumiputera’, dakwa bekas menteri

Usahawan Melayu tak teruja dasar ‘hanya Bumiputera’, dakwa bekas menteri

Dzulkefly Ahmad berkata ada yang menyifatkan dasar ini sebagai dasar yang 'membunuh diri'.

Dzulkefly Ahmad berkata, ramai ahli perniagaan Melayu yang menentang idea membenarkan Bumiputera menjual saham atau syarikat hanya kepada Bumiputera lain.
PETALING JAYA:
Komuniti perniagaan Melayu berat hati dengan usul hanya membenarkan Bumiputera menjual saham atau syarikat kepada pihak Bumiputera lain, menurut seorang bekas menteri.

Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) berkata, ramai ahli perniagaan Melayu yang menentang idea itu.

“Mereka menghantar WhatsApp kepada saya, (berkata), ini ‘polisi paling teruk sekali’.

“Nampak macam idea yang bagus, tetapi kalau niatnya nak bunuh ekonomi Bumiputera, inilah cara terbaik,” kata bekas menteri kesihatan itu ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Ada juga yang menyifatkan dasar ini sebagai dasar yang “membunuh diri”, tambahnya.

Ketika membentangkan RMK12 semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi memastikan pemilikan ekuiti Bumiputera yang mampan, kerangka jaringan keselamatan ekuiti akan diperkenalkan supaya penjualan saham atau syarikat Bumiputera hanya ditawarkan dan dijual kepada konsortium, syarikat atau individu Bumiputera lain.

Beliau berkata demikian selepas mendedahkan bahawa pemilikan ekuiti korporat Bumiputera masih belum mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30%.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata, walaupun beliau tidak menentang usaha untuk membantu Bumiputera dalam pelbagai bidang, dasar tindakan afirmatif seperti itu adalah “pendekatan (tahun) 1971” yang dalam beberapa keadaan hanya menjamin mobiliti sosial.

Berkenaan ekuiti Bumiputera dalam syarikat, sejarah menunjukkan bahawa ia hanya menguntungkan kroni, katanya.

“Ini tak dapat dinafikan. Kita perlu pendekatan baharu, tak boleh ikut cara lama.”

Anwar berkata, mengikut pendekatan yang diamalkan sekarang, mereka yang tiada kelayakan mahupun kemampuan diberikan projek atas dasar “hubungan atau kedudukan politik”.

“Kita juga menafikan hak orang lain,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.