PAC akan siasat 25 isu bersifat punitif dalam LKAN 2019 siri 2

PAC akan siasat 25 isu bersifat punitif dalam LKAN 2019 siri 2

Antara isu besar yang akan diberi perhatian adalah membabitkan Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia berhubung Sistem uCUSTOMS.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara Wong Kah Woh berkata, prosiding dijangka dilaksanakan mulai November ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan menjalankan prosiding terhadap 25 isu punitif yang terdapat dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 2.

Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, prosiding itu dijangka dilaksanakan mulai November ini.

Katanya, antara isu besar yang akan diberi perhatian adalah membabitkan Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia berhubung Sistem uCUSTOMS.

“Sistem bernilai RM397.43 juta ini gagal disiapkan sehingga kini sejak ia dimulakan pada Oktober 2013 sedangkan kerajaan sudah membayar sejumlah RM272.99 juta kepada syarikat terpilih.

“Jika dilihat kos asalnya adalah sebanyak RM317.78 juta, namun selepas lima kali diberi pelanjutan masa (EOT), kos akhir menjadi RM397.43 juta dan status projek gagal disiapkan,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Audit Negara, Nik Azman Nik Abdul Majid.

Kah Woh berkata, uCUSTOMS adalah sistem bagi memudahkan urusan kastam secara dalam talian, namun gagal disiapkan walaupun EOT diberikan.

Beliau berkata, anggota PAC turut melayari laman sesawang Jabatan Kastam bagi melihat sendiri sistem berkenaan, namun tidak dapat diakses.

“Jika pergi ke laman sesawang, ada butang capaian uCUSTOMS, tetapi apabila diklik pada capaian terbabit, ia sekadar memaparkan ‘Error’,” katanya.

Justeru, beliau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan segera terhadap semua isu yang dikategorikan sebagai punitif.

Sementara itu, Nik Azman berkata, isu membabitkan Jabatan Kastam dicatatkan sebagai pembaziran tertinggi dalam laporan berkenaan.

Ia diikuti projek bekalan air mentah Pahang-Selangor bernilai RM71.6 juta dan projek perkhidmatan rangkaian telekomunikasi bersepadu kerajaan membabitkan RM4.89 juta.

“Pembaziran ini bermaksud bayaran dibuat untuk sesuatu projek namun gagal disiapkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.