
Bagi rantau Asia Pasifik pula katanya, negara berada di kedudukan kelapan terbaik.
Beliau berkata, kedudukan Malaysia pada 2020 juga lebih baik daripada Thailand, Indonesia, Vietnam, Myanmar, Filipina dan India.
Katanya, kedudukan Malaysia dalam Indeks Keselamatan Makanan Global (GFSI) berubah daripada tangga 28 pada 2019 ke 44 akibat pelarasan semula oleh Unit Perisikan Ekonomi (EIU).
“Pelarasan semula itu memasukkan penilaian sumber semula jadi dan ketahanan bekalan makanan. Sebelum ini, EIU hanya menilai tahap kerentanan sesebuah negara terhadap sekuriti makanan berdasarkan tiga dimensi, iaitu kemampuan, ketersediaan dan kualiti serta keselamatan.
“Berdasarkan pelarasan ini, kedudukan Malaysia pada 2019 juga berubah daripada tangga ke-28 ke tangga ke-44 dalam kalangan 113 negara di seluruh dunia.
“Pelarasan ini bukan sahaja mengubah kedudukan Malaysia pada 2019, malah Singapura juga berubah daripada tangga pertama ke tangga 20 dan Australia dari tangga ke-12 ke tangga ke-26,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) berhubung sebab kedudukan Malaysia dalam GFSI jatuh daripada tangga 28 pada 2019 ke 43 tahun lalu dan apakah inisiatif kementeriannya untuk memperbaiki keselamatan dan harga makanan supaya lebih murah demi kebajikan penduduk negara ini.
Ronald tidak menafikan ada pelbagai cabaran dalam usaha memperkukuhkan keselamatan makanan negara, termasuk tahap kebergantungan import makanan, permintaan, perubahan iklim, kekangan sumber asli, kekurangan tenaga kerja mahir dan pembabitan belia, tahap penerimaan penggunaan teknologi masih rendah serta amalan pertanian kurang lestari.
“Dalam hal ini, kerajaan sentiasa komited untuk terus memperkukuhkan sekuriti makanan negara supaya kekal terjamin dalam apa jua keadaan, sekali gus mempertingkatkan kedudukan Malaysia dalam GFSI pada masa akan datang.
“Antara usaha kerajaan termasuk penubuhan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC) dan pembangunan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (DSMN) 2021-2025 yang holistik dan mampan.”
Menjawab soalan tambahan Wong mengenai strategi meningkatkan keselamatan makanan katanya, dalam keadaan kebimbangan mengenai bekalan makanan, kementeriannya mengubah strategi dengan meningkatkan sehingga 70% pengeluaran padi dan beras negara dan 30% kebergantungan import.
“Melalui projek Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB), kita mahu meningkatkan produktiviti tanaman padi serta pendapatan pesawah, (ia) dijangka dilaksanakan pada musim kedua tahun ini,” katanya.