Kes kalimah Allah: MAINJ putus tak celah rayuan kerajaan

Kes kalimah Allah: MAINJ putus tak celah rayuan kerajaan

Bagaimanapun, MAIS dan MAIWP masih kekalkan permohonan untuk menjadi pihak dalam rayuan.

Pengurusan kes lain ditetapkan pada 12 November dalam rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi awal tahun ini.
PUTRAJAYA:
Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memutuskan untuk tidak mencelah dalam rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung penggunaan kalimah “Allah” dalam pendidikan agama Kristian seorang wanita dari Sarawak.

Bagaimanapun peguam Annou Xavier, yang mewakili Jill Ireland berkata, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Wilayah Persekutuan (MAIWP) masih memohon untuk menjadi pihak dalam rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Tinggi membenarkan MAIWP menjadi “amicus curiae” (sahabat mahkamah) semasa prosiding berlangsung.

Xavier berkata, beliau dimaklumkan mengenai pendirian terbaru ini susulan pengurusan kes di hadapan pendaftar, Radzilawatee Abdul Rahman, semalam.

Sementara itu, FMT difahamkan bahawa Pejabat Peguam Negara (AGC), yang mewakili kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN), akan memfailkan rekod dan memorandum rayuannya sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan.

AGC dijangka menjelaskan di mana hakim perbicaraan Nor Bee Ariffin membuat kesilapan dalam undang-undang dan fakta.

Mahkamah menetapkan 12 Nov untuk satu lagi pengurusan kes.

Mahkamah Tinggi dalam keputusannya awal tahun ini memutuskan Ireland boleh menggunakan kalimah “Allah” dalam pendidikan agamanya.

Nor Bee berkata, arahan KDN pada 5 Dis 1986 yang melarang penggunaan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “solat” dan “Kaabah” oleh orang bukan Islam adalah tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan.

Beliau berkata, Ireland mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan dan memetik sebarang penerbitan bagi tujuan pendidikan agamanya.

Katanya, masyarakat Kristian di Sarawak dan Sabah juga sudah menggunakan perkataan Allah sejak kira-kira 400 tahun lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.