JPN sahkan terima laporan 4 juta data warganegara dijual lebih RM35,000

JPN sahkan terima laporan 4 juta data warganegara dijual lebih RM35,000

Tetapi, Ketua Pengarah JPN, Ruslin Jusoh enggan mengulas lanjut.

Pangkalan data milik Jabatan Pendaftaran Negara dijual di sebuah forum pasaran pangkalan data terkenal pada harga 0.2 Bitcoin bersamaan RM35,495.
PETALING JAYA:
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan ia menerima laporan berhubung dakwaan penjualan pangkalan data mengandungi empat juta maklumat peribadi rakyat Malaysia di sebuah forum pasaran pangkalan data terkenal.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ruslin Jusoh bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Memang ada laporan yang dihantar berkenaan (isu) itu, tetapi saya tidak akan komen apa-apa buat masa ini. Nanti pihak kita akan maklumkan kemudian,” katanya dipetik Sinar Harian.

Terdahulu, Lowyat.net melaporkan pangkalan data dipercayai milik JPN dijual di sebuah forum pasaran pangkalan data terkenal.

Pangkalan data JPN itu disertakan tanda harga 0.2 Bitcoin bersamaan RM35,495. Ia dikatakan mengandungi maklumat daripada laman sesawang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pengguna Twitter, Adnan Mohd Shukor dipetik akhbar itu sebagai berkata, pangkalan data terbabit mengandungi maklumat penting seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat surat-menyurat dan alamat tetap, nombor telefon bimbit serta alamat e-mel.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.