DBKL pertimbang larang kakitangannya bawa kenderaan setiap Jumaat

DBKL pertimbang larang kakitangannya bawa kenderaan setiap Jumaat

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur usaha itu bagi mempromosikan gaya hidup rendah karbon.

Pemberian insentif kad perjalanan My30 bagi perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana Malaysia Berhad pada awal bulan ini antara langkah sebagai galakan untuk warga kerja DBKL.
KUALA LUMPUR:
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mengkaji untuk melarang warga kerjanya daripada membawa kenderaan ke pejabat pada setiap Jumaat, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah.

Beliau berkata, DBKL juga menggalakkan warga kerjanya menggunakan pengangkutan awam sebagai inisiatif mengurangkan kenderaan di ibu kota, sekaligus menyokong usaha ke arah bandar rendah karbon.

Mahadi berkata, pendekatan itu akan menjadikan udara di bandar lebih bersih dan masyarakat berasa selesa serta selamat, selain membantu meningkatkan taraf kesihatan.

“Sebagai permulaan, kita memberi insentif kad perjalanan My30 bagi perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana Malaysia Berhad pada awal bulan ini.

“Kita juga sedang mengkaji untuk melarang warga kerja kita daripada membawa kenderaan ke pejabat pada setiap Jumaat sebagai inisiatif mengamalkan gaya hidup rendah karbon,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kuala Lumpur Sustainable Development Goals (SDG) Centre, di sini.

Kuala Lumpur SDG Centre yang terletak di Jalan Raja, di sini, dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim dan turut dihadiri Timbalan Menterinya Jalaluddin Alias.

Mahadi berkata, DBKL juga bercadang membangunkan ladang solar di beberapa tasik di ibu negara bagi menggantikan penggunaan tenaga fosil.

“Kita berharap segala usaha ini dapat mewujudkan persekitaran kehidupan lestari kepada masyarakat dan alam sekitar bertepatan dengan matlamat SDG,” katanya.

Sementara itu, Mahadi berkata SDG Centre merupakan sebuah pusat interaktif yang menghimpunkan semua inisiatif dan komitmen pelaksanaan 17 Matlamat Pembangunan Mampan oleh Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pusat itu berfungsi memberikan pendedahan umum dan meningkatkan keupayaan warga kota serta pihak berkepentingan mengenai SDG, sekaligus mencari penyelesaian secara inklusif dan efektif bagi perubahan kehidupan yang lebih baik serta berkualiti.

“Ia akan memperkasakan Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia dalam menjalin perkongsian dan kolaborasi di peringkat tempatan serta antarabangsa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.