Ambil kira sensitiviti masyarakat, batal segera tambah cabutan khas nombor ekor, kerajaan diberitahu

Ambil kira sensitiviti masyarakat, batal segera tambah cabutan khas nombor ekor, kerajaan diberitahu

Pemimpin PAS dan Bersatu kecewa dan mempersoalkan rasional penambahan jumlah cabutan khas itu.

Kelulusan menambah jumlah cabutan khas nombor ramalan daripada lapan kepada 22 kali sepanjang tahun ini dilihat memberi implikasi negatif terhadap kerajaan persekutuan.
KUANTAN:
Sebarang tindakan atau keputusan berhubung penambahan jumlah cabutan khas nombor ramalan perlu mengambil kira sensitiviti masyarakat.

Ahli Jawatankuasa Badan Pimpinan Perikatan Nasional (PN) Pahang, Abdul Rasid Mohamed Ali, berkata kelulusan menambah jumlah cabutan khas daripada lapan sebelum ini, kepada 22 kali sepanjang tahun ini hanya memberi implikasi negatif terhadap kerajaan persekutuan.

“Saya sendiri tidak faham kenapa perlu menambahkan jumlah cabutan khas ini dan kita juga belum mendengar alasan atau jawapan kerajaan yang menyokong atau mendorong keputusan untuk menambahkan jumlah (cabutan khas) itu.

“Kalau tanya (pendapat) saya, memang saya sokong dan minta mereka (kerajaan persekutuan) kembali kepada keputusan asal, kekalkan hanya lapan sahaja cabutan khas seperti sebelum ini,” katanya kepada FMT.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Bersatu Cameron Highlands berharap polemik membabitkan jumlah cabutan khas itu dapat diselesaikan segera sebelum menjadi beban kepada kerajaan.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini memberi peringatan kepada kerajaan untuk mengurangkan jumlah cabutan khas nombor ramalan atau bakal berdepan “tentangan lebih hebat” dari dalam dan luar Dewan.

Beliau turut mempersoalkan rasional penambahan jumlah cabutan khas itu kerana ia hanya memberi kesan jangka pendek dan panjang untuk keberkatan hidup rakyat di negara ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Pahang, Mohd Tarmizi Yahaya, menyatakan rasa kecewa barisan pimpinan PAS negeri dengan tindakan Kementerian Kewangan menambah jumlah cabutan khas tahunan.

“Sepatutnya mereka (Kementerian Kewangan) sentiasa bertindak bijak dengan memikirkan inisiatif lain untuk menghasilkan sumber ekonomi tambahan kepada kerajaan, bukannya melihat kepada sektor perjudian semata-mata.

“Kami berharap perkara ini dinilai kembali dan pendirian PAS dalam isu judi ini juga sudah jelas…pimpinan PAS juga sudah menunjukkan ketegasan dan menyatakan pendirian mereka di Dewan Rakyat membantah keputusan (penambahan cabutan khas) ini,” katanya yang mengulangi pendirian PAS Pahang menolak sepenuhnya keputusan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.