
Dalam jawapan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen Malaysia, Ismail berkata, persetujuan berkenaan melibatkan penghapusan hutang peneroka berjumlah RM7.21 bilion.
Perdana menteri menjawab pertanyaan Chang Lih Kang (PH-Tanjong Malim) yang meminta kerajaan menyatakan bilangan peneroka Felda yang menandatangani perjanjian untuk memansuhkan hutang lapuk dan jumlah hutang yang terlibat.
Awal Julai lalu, perdana menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion secara bersyarat.
Menurut beliau, persetujuan itu mengambil kira isu hutang peneroka yang disifatkannya “harus diperbetulkan” terlebih dahulu untuk memudahcarakan proses penjanaan semula atau “restart” Felda.
Berdasarkan inisiatif berkenaan, purata bayaran balik pinjaman dijangka berkurangan daripada sekitar RM800 hingga RM1,000, kepada hanya RM250 hingga RM300 sebulan bagi peneroka sawit dan serendah RM150 bagi peneroka getah.