RMK12: RM43 bilion pelaburan tambah baik 4G, percepat 5G

RMK12: RM43 bilion pelaburan tambah baik 4G, percepat 5G

Perdana Menteri berkata projek pembangunan Identiti Digital Nasional sedang dilaksanakan bagi mewujudkan platform pengesanan identiti yang selamat dan diperakui.

Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bakal menyediakan 100% liputan 4G di kawasan berpenduduk, liputan 5G lebih luas dan jalur lebar talian tetap kepada sembilan juta premis menjelang 2025.
PETALING JAYA:
Sebanyak RM28 bilion melibatkan pelaburan sektor awam dan swasta di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi menambah baik rangkaian 4G sedia ada, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, bagi mempercepatkan pelaksanaan 5G di seluruh negara, sebanyak RM15 bilion lagi akan dilabur oleh sektor swasta.

“Projek pembangunan Identiti Digital Nasional sedang dilaksanakan bagi mewujudkan platform pengesanan identiti serta perakuan elektronik yang selamat dan diperakui.

“Kita sedar teknologi digital banyak mencorak kehidupan masa kini. Oleh itu kerajaan komited untuk meningkatkan prasarana dan perkhidmatan digital bagi menangani pelbagai jurang digital,” katanya ketika membentangkan RMK12 di Dewan Rakyat.

Katanya, pelaksanaan pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bakal menyediakan 100% liputan 4G di kawasan berpenduduk, liputan 5G lebih luas dan jalur lebar talian tetap kepada sembilan juta premis menjelang tahun 2025.

Ismail berkata, sehingga Ogos 2021 sebanyak 94% kawasan berpenduduk mendapat liputan 4G.

“Kelajuan perkhidmatan jalur lebar mudah alih pula telah mencapai 29.1 megabit sesaat dan lebih 6,000 premis mendapat akses kepada perkhidmatan jalur lebar talian tetap.

“Rangkaian teknologi 5G akan dilancarkan pada penghujung tahun 2021. Pelbagai inisiatif pendigitalan ini dijangka menyokong pencapaian sasaran 25.5% sumbangan ekonomi digital kepada KDNK pada 2025,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.