
Beliau berkata, peruntukan kerajaan akan lebih ditumpukan kepada projek sambungan dan beliau menjangkakan keadaan akan bertambah baik pada 2023 apabila ekonomi semakin kukuh.
Dalam pada itu, Ismail berkata, RMK12 kali ini akan mengetengahkan tiga tema, empat pemangkin dasar dan 14 pemacu perubahan yang diperkenalkan dengan “pendekatan keseluruhan negara”.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan RMK12 di Parlimen.
Ismail berkata, kerajaan akan mengembalikan semula momentum pertumbuhan semua sektor ekonomi dan mewujudkan sumber pertumbuhan baharu.
“Pertumbuhan beberapa industri yang strategik dan berimpak tinggi, iaitu elektrik dan elektronik, perkhidmatan global, aeroangkasa, industri halal, kreatif, pelancongan, biojisim dan aktiviti pertanian pintar akan dilonjakkan. Transformasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) juga akan diperkasa.
“Pertumbuhan sektor perkhidmatan akan disokong oleh strategi pemodenan sektor untuk menjadi hab perkhidmatan serantau. Dalam hal ini, dasar dan perundangan yang jelas serta persekitaran perniagaan yang kondusif akan diwujudkan bagi menggalakkan lagi pelaburan yang berkualiti,” katanya.
Tambah beliau, selaras dengan perkembangan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), sektor pembuatan dijangka beralih kepada pengeluaran produk yang mempunyai nilai tambah yang tinggi dan industri Malaysia menjadi pemain penting dalam rantaian nilai global.
Bagi pertumbuhan produktiviti, jelas Ismail lagi, ia akan dilonjakkan melalui aktiviti penyelidikan dan inovasi, penggunaan teknologi termaju di samping mengurangkan kebergantungan kepada buruh kurang mahir.
“Perdagangan antarabangsa akan diperkukuh dengan mengenal pasti pasaran dan produk baharu, menambah baik kecekapan fasilitasi perdagangan dan meningkatkan daya saing industri eksport utama.
“Selain itu, kerjasama perdagangan akan digalakkan melalui ratifikasi perjanjian perdagangan bebas (FTA) baharu seperti ‘Regional Comprehensive Economic Partnership’ (RCEP),” katanya.