Muhyiddin cadang tubuh Majlis Pemulihan Negeri

Muhyiddin cadang tubuh Majlis Pemulihan Negeri

Pengerusi MPN itu berkata, Menteri Besar dan Ketua Menteri boleh dilantik mengetuai Majlis Pemulihan Negeri.

Muhyiddin Yassin berkata, penubuhan majlis pemulihan di peringkat negeri secara tidak langsung dapat membantu MPN melihat dan mengetahui lebih terperinci apakah sebenarnya keperluan negeri.
PETALING JAYA:
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Muhyiddin Yassin mencadangkan agar satu majlis berfungsi seumpama MPN diwujudkan di peringkat negeri dan seterusnya peringkat daerah.

Beliau berkata, fungsi majlis itu adalah bagi memudahkan usaha pemulihan dilaksanakan di peringkat akar umbi.

“Ia (Majlis Pemulihan Negeri) mungkin boleh dipimpin menteri besar atau ketua menteri di negeri masing-masing dan di bawahnya pula ada jawatankuasa tindakan peringkat daerah seperti sebelum ini.

“Perkara ini secara tidak langsung dapat membantu kita melihat dan mengetahui lebih terperinci apakah sebenarnya keperluan mereka dan kita ambil pendekatan sama, apa yang kita buat di peringkat nasional, kita boleh laksanakan di negeri,” katanya pada sidang media pertama selepas dilantik sebagai pengerusi MPN.

Muhyiddin turut memaklumkan mesyuarat kali pertama MPN hari ini juga berpuas hati dengan penerangan yang diberikan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengenai perkembangan terkini program vaksinasi dan kadar kebolehjangkitan Covid-19.

“Kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga mula menunjukkan penurunan dan begitu juga jumlah vaksin yang kita miliki mencukupi untuk memulakan suntikan penggalak kepada individu yang memerlukan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, fokus utama MPN ketika ini adalah bagi memulihkan pelbagai sektor dan kumpulan terkesan akibat Covid-19 secara menyeluruh.

“Antara sektor perlu diberi perhatian ialah sektor ekonomi yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan paling banyak menyediakan peluang pekerjaan.

“Selain itu, bantuan untuk usahawan kecil dan sederhana juga turut perlu diberi perhatian agar mereka dapat terus kekal bersaing dan bangkit semula selepas terjejas teruk akibat penutupan sektor ekonomi sebelum ini,” katanya.

MPN juga akan mencari jalan bagi terus membantu golongan rentan di samping menyelesaikan isu kemiskinan bandar dan luar bandar susulan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak awal tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.