Kurang kerenah birokrasi, fungsi penjawat awam akan disusun semula, kata PM

Kurang kerenah birokrasi, fungsi penjawat awam akan disusun semula, kata PM

Ismail Sabri Yaakob berkata pemilihan dan pengambilan pegawai pengurusan dan profesional dalam pelbagai skim juga akan diperkukuh.

Cadangan untuk memperkenalkan Akta Perkhidmatan Awam akan dikaji bagi membolehkan pelaksanaan pengasingan kuasa dan tanggungjawab yang jelas antara anggota pentadbiran dengan penjawat awam, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
PETALING JAYA:
Struktur dan fungsi kementerian serta agensi akan disusun semula bagi mewujudkan organisasi lebih mendatar dan mengurangkan kerenah birokrasi, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail berkata, mekanisme pemilihan dan pengambilan pegawai pengurusan dan profesional dalam pelbagai skim juga akan diperkukuh bagi memperoleh bakat terbaik.

“Cadangan untuk memperkenalkan Akta Perkhidmatan Awam akan dikaji bagi membolehkan pelaksanaan pengasingan kuasa dan tanggungjawab yang jelas antara anggota pentadbiran dengan penjawat awam,” katanya dalam pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat.

Pada 2018, bekas ketua pengarah Perkhidmatan Awam (JPA), Borhan Dolah berkata, kerajaan akan memperkenalkan akta itu bagi membolehkan pelaksanaan pengasingan kuasa.

Penjawat awam juga sebelum ini sentiasa menjadi sasaran kritikan, terutama membabitkan jumlah kakitangannya yang dikatakan “besar”.

Bulan lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa Ismail mempertimbangkan penstrukturan semula semua kementerian demi menjamin organisasi berkenaan lebih tersusun.

Dalam pada itu, Ismail berkata, pendigitalan perkhidmatan awam akan terus dipertingkat susulan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) 2021-2025 yang baharu dilancar menggariskan hala tuju strategik pelaksanaan pendigitalan sektor awam bagi memacu agenda kerajaan digital yang mampan ke arah membentuk masyarakat digital.

“Kerajaan menyasarkan perkhidmatan dalam talian peringkat awal ke akhir atau ‘end-to-end’ meningkat kepada 80% pada 2025,” katanya.

Beliau berkata, rangka dasar tadbir urus data nasional akan dibangunkan untuk menggalakkan perkongsian data antara sektor awam dan swasta yang lebih meluas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.