Kurang 2% daripada 1.6 juta penjawat awam terbabit rasuah, kata CUEPACS

Kurang 2% daripada 1.6 juta penjawat awam terbabit rasuah, kata CUEPACS

Presiden CUEPACS Adnan Mat berkata pemberi rasuah sering terlepas dan tidak didedahkan sehingga 100% kesalahan dibebankan terhadap kakitangan awam.

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyokong cadangan penubuhan Akta Perkhidmatan Awam untuk memperkasakan fungsi pengasingan kuasa antara anggota pentadbiran dan penjawat awam bagi mengelak konflik berkepentingan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penjawat awam tidak sepatutnya dimomokkan kerap terjerumus perbuatan rasuah selepas mengambil kira tidak sampai 2% daripada keseluruhan 1.6 juta kumpulan itu terbabit jenayah berkenaan, kata Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Presidennya Adnan Mat berkata, CUEPACS tidak menafikan sememangnya berlaku ketirisan atau salah guna kuasa dalam perkhidmatan awam yang pada akhirnya hanya merugikan sumber dimiliki negara, sekali gus memberi kesan kepada penyampaian perkhidmatan awam.

“Akan tetapi, ia bukanlah sesuatu perkara yang kita patut momokkan bahawa ketirisan yang berlaku dalam perkhidmatan awam ini terlalu teruk, sehingga ia diumpamakan sebagai barah yang tidak mampu lagi diubati.

“Sudah tentu Pelan Antirasuah Nasional dan Pelan Antirasuah Organisasi yang dilaksanakan kerajaan perlu didokong supaya setiap strategi dan inisiatif bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dapat dilaksanakan secara tersusun dengan penuh integriti dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.

Adnan berkata, tidak adil untuk menuding jari ke arah perkhidmatan awam sahaja kerana di sebalik mereka yang menerima sudah tentu ada yang memberi.

“…dan si pemberi ini sering terlepas dan tidak didedahkan sehingga yang mendapat kesalahan seolah-olah 100% mereka yang menerima sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Adnan ketika mengulas rancangan mewujudkan Akta Perkhidmatan Awam bertujuan melaksanakan pengasingan kuasa yang jelas antara anggota pentadbiran dengan penjawat awam berkata, pengasingan kuasa berkenaan sebenarnya sudah wujud.

“Namun, ia sering kali disalah ertikan kerana tidak wujudnya ketegasan dalam undang-undang atau akta sedia ada. Jadi cadangan ini amat baik dan sudah tentu wajar disokong bagi memastikan ketelusan dan integriti dalam urus tadbir perkhidmatan awam,” katanya.

Katanya, jika berlaku campur tangan dalam urusan penjawat awam, sudah tentu akan mewujudkan konflik kepentingan dalam kalangan anggota pentadbiran, manakala di pihak penjawat awam menjadi sukar untuk melaksanakan dasar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.