Konon nak membeli, pemandu ‘rembat’ rantai, dodol

Konon nak membeli, pemandu ‘rembat’ rantai, dodol

Suspek meragut rantai emas bernilai RM2,000 dan dodol berharga RM30 sebelum melarikan diri menaiki kereta.

Mangsa yang mengusahakan dodol warisan keluarga dari rumahnya tinggal berseorangan ketika kejadian, kata Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Arshad Abu.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki berpura-pura ingin membeli dodol sebelum meragut rantai emas dipakai seorang peniaga wanita di Kampung Air Tanai, Air Paabas, Alor Gajah hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi tadi, suspek dipercayai berusia 20-an turut melarikan dodol jualan mangsa dengan menaiki kereta jenis Perodua Myvi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Arshad Abu berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 11.40 pagi sebelum anggota dikerahkan ke lokasi.

“Hasil maklumat awal, mangsa berusia 54 tahun mengusahakan dodol warisan keluarga dari rumahnya dan ketika kejadian, dia tinggal seorang diri.

“Pada 11.30 pagi, mangsa telah didatangi suspek mendakwa ingin membeli dodol sebelum tiba-tiba lelaki itu bertindak menyentap dan melarikan rantai emas dipakainya yang bernilai kira-kira RM2,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, suspek juga sempat mengambil dodol jualan wanita terbabit berharga RM30 sebelum meloloskan diri dengan menaiki kereta berwarna putih.

Mangsa tidak mengalami kecederaan, katanya, dan pihaknya sedang giat memburu peragut tersebut.

“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diharap dapat tampil bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun ragut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.