
Calvin Cheng dari Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia berkata, selain kaedah pengukuran semasa, RMK12 juga perlu menangani usaha pemulihan “parut jangka panjang” susulan kesan pandemik.
Katanya, “parut jangka panjang menjurus” kepada pengangguran, bayaran upah dan gaji tidak adil, serta kemiskinan.
Beliau berkata, walaupun ekonomi dijangka pulih bermula tahun depan, isu pengangguran dan kemiskinan diramal kekal membelenggu.
“Walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pulih pada 2022 seperti sebelum krisis melanda, bagaimanapun ia mengambil masa lebih lama untuk pulih membabitkan kesan jangka panjang merangkumi situasi sosioekonomi susulan wabak.
“Mungkin ia mengambil masa lima tahun atau berdekad lamanya (menangani) kadar kemiskinan (terutama) di kawasan miskin di Semenanjung,” katanya.
Cheng berkata, dengan kadar pengangguran diramal kekal tinggi pada 2022 dan 2023, namun bagi tempoh lima tahun akan datang kerajaan sepatutnya memberikan tumpuan untuk menyelesaikan masalah berkenaan.
Katanya, kadar upah tidak adil dalam kalangan kumpulan rentan seperti kumpulan belia, wanita, termasuk golongan mudah terkesan juga perlu diberi perhatian.
“Wujud keperluan sebenar untuk memberi tumpuan sepenuhnya bagi tempoh lima tahun akan datang terutama dalam dasar perbelanjaan dalam mengurangkan impak kesan jangka panjang itu, memulihkan kesan wabak dan mengurangkan ketidakadilan yang menjadikannya lebih teruk terjejas ketika wabak.
“Pada masa sama, wujud keperluan membina semula kemampanan ekonomi negara ini untuk berdepan sama ada krisis mahupun kejutan pada masa depan,” katanya dalam rancangan bual bicara membabitkan RMK12 di Astro Awani.
Dalam pada itu, petani dari Sabah, Shahrizal Denci berkata, lebih banyak usaha perlu dilaksanakan untuk membangunkan ekonomi luar bandar, selain menghalang penduduknya, terutama belia keluar ke kawasan bandar.
Anak tempatan dari Ranau itu berkata, ketika ini kurangnya usaha dalam mengeksploitasi “kekayaan tempatan” dengan masyarakat setempat digalakkan menubuhkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Shahrizal berkata, kekurangan infrastruktur asas seperti internet berkelajuan tinggi dan beberapa lagi bentuk komunikasi menjejaskan pertumbuhan PKS.
Katanya, sektor pertanian sepatutnya dimodenkan, termasuk diberi penjenamaan lebih baik bawah RMK12, justeru ia mampu dipasarkan sebagai kerjaya menjanjikan pendapatan lumayan.