Benarkan pelancong asing masuk Langkawi pada November, kata LADA

Benarkan pelancong asing masuk Langkawi pada November, kata LADA

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasaruddin Abdul Muttalib, berkata cadangan tarikh itu mengambil kira cuti persekolahan dan musim sejuk di hemisfera utara.

Ketua Pegawai Eksekutif LADA Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, rundingan telah dimulakan bagi memuktamadkan butiran prosedur operasi standard mengendalikan pelancong luar negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bercadang membenarkan kemasukan pelancong asing ke pulau peranginan itu bermula November depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasaruddin Abdul Muttalib, berkata untuk tujuan itu, pihaknya sudah pun meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat penilaian bagi membolehkan ia dilaksanakan pada tarikh itu mengambil kira cuti persekolahan dan musim sejuk di hemisfera utara.

“LADA sudah memulakan rundingan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi memuktamadkan butiran prosedur operasi standard (SOP) mengendalikan pelancong luar negara.

“Ini akan bermula dengan penerbangan sewa khas dari negara dikenal pasti sahaja,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2021 di Langkawi hari ini.

Nasaruddin berkata, program rintis gelembung pelancongan yang dibuka sejak 12 hari lalu di pulau peranginan itu menunjukkan kejayaan apabila dikunjungi 24,336 pelancong.

“Jumlah itu membabitkan pelancong domestik dan warga asing yang bermastautin serta lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 di negara ini.

“Berbekalkan angka ini, kita yakin sasaran 30,000 pelancong ke pulau ini pada akhir bulan ini akan tercapai,” katanya.

Beliau berkata, ukuran kejayaan juga boleh dinilai menerusi sifar jangkitan Covid-19 membabitkan pelancong yang bercuti di Langkawi sejak 16 September lalu.

Katanya, sehingga kini Jabatan Kesihatan Kedah belum menerima sebarang laporan berkaitan pelancong yang pulang dari Langkawi dijangkiti Covid-19.

“Kita anggap ini kejayaan awal bagi projek rintis gelembung pelancongan dan mungkin boleh menjadi contoh kepada destinasi pelancongan lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.