
Beliau berkata, kementeriannya masih dalam proses penyediaan garis panduan klinikal untuk pelaksanaan program berkenaan.
“Dos penggalak ini kita akan mula pada Oktober apabila kita sudah siap dengan garis panduan klinikal.
“Kita akan beri fokus kepada golongan yang berisiko tinggi, berusia 60 tahun ke atas dan yang mempunyai komorbiditi yang serius,” katanya dalam sidang media mengenai Program Imunisasi dan Pengurusan Pandemik Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, Kuching hari ini.
Berhubung jenis vaksin, Khairy berkata, kementeriannya sedang menilai sama ada penerima akan diberi vaksin sama dengan dua dos terdahulu atau menggunakan vaksin jenis lain.
Kata Khairy, tumpuan pemberian dos penggalak kepada golongan berisiko tinggi ini selaras dengan amalan di negara lain, termasuk Amerika Syarikat.
Sementara itu, katanya, pihaknya berusaha meningkatkan kapasiti penjagaan kesihatan bagi menangani kemungkinan berlaku lonjakan kes serius di Sarawak.
“Untuk itu, kita akan membekalkan 118 unit alat bantuan pernafasan dan 1,008 silinder oksigen yang akan dihantar dengan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Selasa ini.
“Kita juga sudah menambah katil ICU (unit rawatan rapi), dengan yang ada sekarang 10 katil di Sibu, 20 lagi akan kita tambah.
“Terpulang kepada kerajaan Sarawak untuk menentukan di mana ia ditempatkan,” katanya.