
Ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki berkata kerajaan juga perlu giat mencipta peluang pekerjaan baharu untuk generasi muda dan mengupayakan kembali projek prasarana berskala besar dalam usaha merangsang segera pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Jika ini berjaya, rakyat tidak perlu lagi bergantung kepada pengeluaran wang simpanan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) yang tentu sekali boleh menjejaskan masa depan mereka di kemudian hari,” katanya di Facebook.
Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Amir Hamzah Azizan mendedahkan sebanyak 46% pencarum berumur bawah 55 tahun hanya mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.
Katanya, majoriti pencarum juga hanya boleh bertahan selama tiga tahun selepas bersara dengan jumlah simpanan KWSP yang mereka ada.
Bagaimanapun, Asyraf berkata, ketika pertemuan dengan CEO KWSP pada 21 Sept lalu, Pemuda Umno mengemukakan cadangan bagi menangani isu kelompongan simpanan KWSP akibat pengeluaran musim kecemasan.
“Antaranya meningkatkan kadar caruman wajib majikan untuk tempoh tertentu dan memperluaskan caruman ‘mandatory coverage’ termasuk kepada sektor tidak formal seperti ekonomi gig,” katanya.