Ketua Global Peace Mission dilantik penasihat khas mengenai Afghanistan

Ketua Global Peace Mission dilantik penasihat khas mengenai Afghanistan

Menteri Luar berharap pengalaman luas Ahmad Azam Ab Rahman dapat membantu Wisma Putra mendapat lebih banyak maklumat mengenai Afghanistan.

Ahmad Azam Ab Rahman akan membantu Wisma Putra mempermudahkan usaha kemanusiaan NGO Malaysia, selain memberikan maklumat dan nasihat mengenai Afghanistan. (Gambar Fail)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Luar melantik Pesuruhjaya Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC) Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Ahmad Azam Ab Rahman sebagai penasihat khas Wisma Putra mengenai Afghanistan.

Menteri Luar, Saifuddin Abdullah berkata, pengalaman luas Azam dapat membantu Wisma Putra memperoleh lebih banyak maklumat mengenai Afghanistan.

“Selain memberikan maklumat dan nasihat, beliau juga membantu Wisma Putra mempermudahkan usaha kemanusiaan badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia.

“Melihat kepada keadaan sekarang, sangat penting bagi kita terus berhubung dengan sumber boleh dipercayai dan Azam mempunyai kelebihan.

“Ini sangat penting untuk membolehkan kita lebih memahami dengan betul perkembangan terbaharu itu. Sudah tentu Wisma Putra akan guna pelbagai sumber lain, tetapi pengalaman beliau membantu kami dapatkan maklumat tambahan lain yang penting,” katanya.

Beliau mengumumkan pelantikan itu pada “Persidangan KL mengenai Afghanistan: Re Emergence of a Nation” hari ini. Acara itu anjuran bersama Global Peace Mission (GPM) Malaysia dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Azam juga pengerusi GPM.

Beliau berkata, Malaysia akan terus memantau perkembangan politik di Afghanistan dan menggunakan penilaian sendiri untuk membantu membina semula negara terbabit.

Katanya, Malaysia seharusnya tidak dipengaruhi naratif Barat mengenai keadaan di Afghanistan.

“Kita perlu memperoleh maklumat sebenar sendiri mengenai apa yang berlaku di Afghanistan ketika ini, apa yang berlaku sebelum ini dan bagaimana kita mahu melihat ke hadapan,” katanya.

Kerajaan Malaysia berulang kali menegaskan rundingan damai, kebangkitan dan pembangunan semula Afghanistan seharusnya dipimpin, dikuasai dan dimiliki rakyat negara itu sendiri.

“Kita di Malaysia, ummah dan masyarakat dunia yang cintakan keamanan, mesti menyuarakan sokongan, solidariti dan cuba sebaik mungkin memberikan bantuan kepada rakyat Afghanistan.”

Saifuddin berkata, meskipun Malaysia belum mengiktiraf kerajaan baharu Kabul, ia komited menghulurkan bantuan kemanusiaan serta membantu pembinaan semula prasarana dan negara itu.

Katanya, Malaysia akan terus bekerjasama dengan PBB, OIC dan NGO seperti Mercy Malaysia serta GPM untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan di Afghanistan.

Malaysia katanya, sebelum ini berjanji memberikan USD100,000 kepada PBB untuk tujuan itu.

Saifuddin turut menggalakkan perniagaan Malaysia meneroka peluang di Afghanistan dan difahamkan dua syarikat Malaysia sudah dipelawa melakukan kerja awal membaik pulih dan penyelenggaraan di sana.

Sebelum ini, katanya, Malaysia turut membantu dalam bidang pembangunan modal insan untuk rakyat Afghanistan menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), menyaksikan 617 pegawai kerajaan dilatih dalam pelbagai bidang seperti pentadbiran, percukaian dan kewangan sejak 2002.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.