Liputan 4G negara kini lebih 94%

Liputan 4G negara kini lebih 94%

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, negara dijangka mampu mencapai liputan penuh 4G dalam dua tahun lagi.

Zahidi Zainul Abidin meminta rakyat bersabar dan memberi sedikit masa kepada kerajaan untuk berusaha meningkatkan capaian internet, khususnya di kawasan luar bandar.
PADANG BESAR:
Liputan rangkaian generasi keempat (4G) di seluruh negara kini mencapai 94.03%, sejajar sasaran liputan 96.9% menjelang akhir 2022 di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dilancar tahun lepas.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin berkata, negara dijangka mampu mencapai liputan penuh 4G dalam dua tahun lagi, berikutan usaha giat dilakukan kerajaan bersama agensi berkaitan.

“Apabila semua kawasan mencapai 4G, kita akan usaha menaik taraf liputan kepada rangkaian generasi kelima (5G) pula,” katanya ketika menghadiri Program Komuniti Keluarga Malaysia di Masjid Othmaniah, di sini.

Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar berkata, pelbagai isu terpaksa dihadapi dalam usaha meningkatkan kesalinghubungan seperti pembinaan menara pemancar yang melibatkan banyak proses dan memakan masa, termasuk perbincangan dengan pemilik serta kerajaan negeri, namun perkara itu akan diselesaikan.

“Kita harap rakyat bersabar dan memberi sedikit masa kepada kerajaan untuk berusaha meningkatkan capaian internet, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya yang turut menasihati orang ramai tidak mudah terpengaruh atau menyebarkan berita palsu demi kebaikan semua.

Mengenai liputan rangkaian 3G di seluruh negara, Zahidi berkata, ia akan ditutup secara berperingkat akhir tahun ini.

“Yang akan tinggal hanya rangkaian 4G yang akan dipertingkat dan 2G ini penting untuk kegunaan telefon,” katanya kepada Bernama ketika lawatan kerja ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Perlis hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan 5G di Perlis oleh Digital Nasional Berhad akan bermula 2023 hingga 2026 melibatkan 59 lokasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.